Oleh: Siti Najwa Abd Rahman
Kangar, 17 Disember 2024 – Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UPSI telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan perkongsian secara teori, teknikal dan pembangunan mengenai Micro-Credentials kepada Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
UniSIRAJ terlebih dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPS) yang telah dinaik taraf pada 24 November 2024.
Bengkel yang berlangsung selama empat hari yang mana sehari secara atas talian pada 13 Disember 2024.

Seterusnya, bagi sesi bersemuka selama tiga hari telah diadakan di Hotel Seri Malaysia, Kangar. Bengkel dilaksanakan bagi membantu UniSIRAJ dalam pembangunan Micro-Credentials dan secara tidak langsung sebagai ‘knowledge transfer’ kepada para pembangun dan juga pihak pengurusan.
Sesi perkongsian yang dijalankan oleh Timbalan Pengarah E-Pembelajaran & Transformasi Akademik, ChM. Dr. Yuhanis Mhd Bakri bersama Pereka Instruksional dari PPA, Cik Siti Najwa Abd Rahman selain pegawai tadbir, Tuan Syed Nurshairazi Syed Ramli.
Bengkel telah melibatkan seramai 13 orang kakitangan UniSIRAJ termasuk dalam kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran daripada Fakulti Pengajian Islam, pensyarah Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, pensyarah Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah serta kakitangan daripada Jabatan Teknologi Maklumat, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Pejabat Timbalan Rektor Akademik.

Bengkel juga disertai oleh Pemangku Dekan Fakulti Pengajian Islam, Ustaz Mohammad Roshimi Abdullah; Pemangku Dekan Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Ustazah Nur Afifah binti Fadzil; Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pengajian Islam, Ustaz Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin serta Ketua Bahagian Akademik UniSIRAJ, Puan Imtinan Abd Karim.
Matlamat bengkel iaitu dalam penghasilan sebuah kursus lengkap Stand Alone Micro-Credentials (SAMC) berserta lima buah rakaman video telah dilaksanakan dengan jayanya.

Dengan kejayaan bengkel ini, UniSIRAJ mampu mengaplikasikan langkah awal pengembangan teknologi dalam pendidikan dan diharapkan agar UPSI juga turut menjadi indikator dan penyumbang kepada kemajuan tersebut.
Diharapkan kerjasama antara UPSI dan UniSIRAJ dapat dikekalkan dan diteruskan dalam pelbagai bidang lain.
