Oleh: Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Dr. Okta Nurika, Dr. Mad Helmi Ab. Majid, Dr. Sumayyah Dzulkifly, Prof. Dr Rosmilah Misnan, Dr Ali Nadzalan, Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak dan Dr Satria Abadi
Putrajaya, 29 November 2024 – Festival of Innovation (FOI) 2024 telah mencatat sejarah sebagai program inovasi terbesar anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 27 hingga 29 November 2024.
Program gilang-gemilang ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuhkan ekosistem inovasi dan teknologi negara.
Salah satu detik penting FOI 2024 ialah pelancaran produk inovasi Smart EFWC, yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Berhormat Menteri KPT, Dato’ YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, hadir bersama Profesor Dr Suriani Abu Bakar TNCPI UPSI bagi memberi sokongan padu atas kejayaan penyelidik UPSI.
Produk ini merupakan hasil penyelidikan unggul Profesor Dr. Che Zalina Zulkifli dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, UPSI, dan disokong oleh penyelidik bersama EduGreen@UPSI iaitu Dr Okta, Dr Mad Helmi, Dr Sumayyah, Dr Nor Asiah, Dr Satria dan Prof. Madya Dr Suliana Sulaiman.

Smart EFWC, model generasi keempat hasil kajian intensif sejak 2016, direka khas dengan teknologi terkini yang menggabungkan Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI). Mesin ini mampu memantau aktiviti pengkomposan serta menganalisis data pengurangan jejak karbon secara efisien. Keunikan produk ini terletak pada pembangunannya yang bermula sepenuhnya daripada asas (from scratch) serta keupayaannya untuk diubah suai dari segi saiz dan kapasiti mengikut keperluan pengguna.
Produk ini bukan sahaja mencerminkan daya saing teknologi hijau Malaysia, malah turut menunjukkan kejayaan kerjasama strategik antara UPSI dengan agensi kerajaan tempatan seperti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), rakan industri seperti Urbanest Sdn. Bhd., serta rakan strategik di dalam dan luar negara.
Semua ini membuktikan komitmen UPSI sebagai universiti yang tersenarai di kalangan terbaik di dunia. Inisiatif pendidikan hijau terus diperkukuhkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada tahun 2021 bersama rakan strategik MBSP dan Urbanest Sdn Bhd.
Kerjasama ini telah melahirkan Pusat Pendidikan Hijau, yang berfungsi sebagai platform untuk memperkasa inovasi dalam bidang teknologi hijau dan pengurusan sisa.


Kejayaan projek ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk penaja utama seperti Habitat Foundation, CIMB, UPSI, MBSP, Urbanest Sdn. Bhd., Think City dan rakan strategik lain.
FOI 2024 dan inovasi seperti Smart EFWC membuktikan komitmen Malaysia untuk menerajui teknologi hijau, sekaligus meningkatkan reputasi negara dalam landskap inovasi global.

Inovasi ini melambangkan komitmen UPSI dalam menyokong pembangunan teknologi hijau, sekaligus memperkukuhkan reputasinya sebagai sebuah universiti pendidikan berinovasi tinggi di peringkat nasional dan global.
