Oleh: Anis Arisya Zahari dan Norsabilla Balqis Kamarul Nizam
TANJONG MALIM, 17 Disember 2024- Kor SISPA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melangsungkan acara Majlis Makan Beradat pada 17 Disember 2024 bersamaan hari Selasa yang bertempat di Dewan Banquet Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Baru-baru ini, seramai 25 orang anggota batch ERUDITE telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam [Lt.M (PA)] pada bulan Ogos 2024 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Majlis Makan Beradat ini adalah bertujuan untuk meraikan pentauliahan serta memberi penghargaan kepada mereka yang telah sertai badan unit beruniform Kor SISPA UPSI selama 3 tahun dan menjalani kursus-kursus wajib Angkatan Pertahanan Awam.
Sehubungan dengan itu, majlis ini juga memberi peluang kepada pelajar semester 3 dan 5 Kor SISPA UPSI untuk mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan pengurusan program dalam badan unit uniform.
Yang Berusaha Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong merangkap Timbalan Komandan KOR SISPA UPSI telah merasmikan Majlis Makan Beradat sesi 2024/2025 yang turut dihadiri oleh 6 orang VVIP kehormat; Profesor Madya Dr. Mazuki Bin Mohd Yasim, Kapt.(PA) Shahrizal Bin Hussin, Kapt. Bersekutu (PA) Suhaimi Bin Zulkipli, Dr. Mazarul Hasan, Tuan Shahlan, Tuan Shahruddin, barisan Pegawai Kor Sispa UPSI, barisan Pegawai Pusat Kokurikulum serta 25 anggota tamat latihan .

Sewaktu perasmian majlis, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Majlis Makan Beradat serta beliau turut menyatakan rasa bangga kepada Kor SISPA UPSI yang saban hari menunjukkan progres baik dengan penglibatan dalam semua program yang dianjurkan.

Majlis Makan Beradat ini dihangatkan dengan beberapa persembahan yang menarik seperti tarian melayu tradisional, nyanyian duet dan deklamasi sajak. Tidak lupa juga, majlis dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran yang ditarannum sendiri oleh PKS Kor SISPA UPSI bagi memberkati acara majlis.

Beberapa anugerah telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mazuki Bin Mohd Yasim yang didampingi oleh Kapt.(PA) Shahrizal Bin Hussin kepada para penerima anugerah khas seperti Anugerah PKS Terbaik, Anugerah PKS berdedikasi, Anugerah PKS Inspirasi dan beberapa lagi anugerah lain.


PKS Nur Shazwani Binti Ahmad Jaffri selaku pengarah program berharap semua PKS yang terlibat pada acara Majlis Makan Beradat dapat mempelajari ilmu baru berkaitan penyajian makanan dan protokol majlis untuk diguna pakai pada majlis formal yang akan datang.
Diharapkan daripada Majlis Makan Beradat ini, semua PKS dapat menimba pengalaman unggul dalam mengendalikan dan menguruskan program yang berprestij ini.

Hal ini juga dapat melahirkan mahasiswa UPSI yang berkemahiran tinggi, berbakat dan berdedikasi yang membolehkan mereka mengharumkan nama UPSI ke peringkat yang lebih luas. Akhir kata, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada 25 anggota tamat latihan Angkatan Pertahanan Awam.
