Oleh:  Nursyaheerah Shamsuddin, Dr. Nur Izwani Mohd Shapri dan Profesor Madya Dr Syakirah Samsudin

Padang, Indonesia, 26 November 2024 – Sebuah projek merentas sempadan geografi Malaysia, Program SULAM Antarabangsa telah dilaksanakan dengan jayanya melalui kolaborasi bersama oleh 34 orang pelajar Insan Guru Profesional dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan 38 orang pelajar Microteaching dari Universitas Negeri Padang (UNP).

Sesi fotografi pelajar UPSI kursus KPG3013 AT16B bersama pelajar Sekolah
Menengah Atas Negeri 10, Padang (SMANTEN), Indonesia.

Seramai 24 pelajar Insan Guru Profesional telah ke Padang, Indonesia manakala selebihnya terlibat secara hibrid di Malaysia.

Matlamat utama program ini adalah untuk menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang telah dipelajari di bilik kuliah.

Khidmat komuniti yang diberikan adalah melibatkan interaksi mahasiswa/i UPSI dan UNP dengan komuniti pelajar Sekolah Menengah Atas Negeri 10, Padang (SMANTEN), Indonesia.

Program SULAM Antarabangsa bagi kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) AT16B telah diketuai oleh saudara Muhammad Afiq Akmal Ayzuddin, dengan bimbingan Dr. Nur Izwani Mohd Shapri selaku pensyarah kursus Insan Guru Profesional, UPSI dan Dr. Muhyiatul Fadilah selaku pensyarah kursus Microteaching, UNP.

Pada hari Program SULAM tersebut, dua kumpulan iaitu Kumpulan 7 dengan projek yang bertajuk Tahap Pengetahuan Teknologi Hijau Dalam Kalangan Pelajar Sains dan Kumpulan 2 dengan projek Kemahiran Proses Asas Sains: Asas Pembangunan Pemikiran Kritis telah terlibat dalam pengajaran secara langsung bersama 40 orang pelajar dari kelas 10 E.1, SMANTEN.

Selain daripada aktiviti yang menarik sepanjang pelaksanaan kedua-dua projek ini, program turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti lain seperti Ice Breaking sebagai sesi pembukaan, Fun Activity dan diakhiri dengan sesi penutup.

Ujian pra dan ujian pos turut dijalankan untuk menguji keberhasilan projek yang telah dilaksanakan.

Pelaksanaan program Sulam kumpulan 7 dan kumpulan 2 untuk kursus KPG3013
AT16B di dalam kelas 10 E.1
Pelaksanaan program Sulam kumpulan 7 dan kumpulan 2 untuk kursus KPG3013
AT16B di dalam kelas 10 E.1

Manakala tiga lagi kumpulan telah mempamerkan projek masing-masing di sekitar SMANTEN. Projek-projek yang dipamerkan adalah berkaitan dengan Faktor Psikososial Murid Sewaktu Pembelajaran Sains, Gaya Pembelajaran Dominan Pelajar Jurusan Sains dan Kesedaran Pelajar Sains terhadap Perubahan Klimaks.

Pelajar yang mengunjungi booth pameran telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti puzzle, aktiviti berkaitan gaya pembelajaran VARK (Visual, Aural, Read, Kinaesthetic), website ‘Iklim Kita’ dan banyak lagi.

Pelaksanaan program sulam bagi di pekarangan Sekolah Menengah Atas Negeri 10,
Padang (SMANTEN), Indonesia.

Pada waktu yang sama di Malaysia, program SULAM Antarabangsa ini turut dijalankan secara dalam talian melalui pelaksanaan Podcast yang bertajuk Kesedaran Pelajar dalam Mengaplikasikan Sains dalam Kebersihan Diri dan Authentic Learning Using STEM.

Pendedahan mengenai projek bagi kedua-dua kumpulan ini juga diadakan secara langsung di SMANTEN dengan bantuan mahasiswa/i UNP.

Pelaksanaan Podcast bagi program SULAM Antarabangsa secara dalam talian di
Malaysia
Pelaksanaan Podcast bagi program SULAM Antarabangsa secara dalam talian di
Malaysia

Program yang mensasarkan kursus konten dan pendidikan ini diadakan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan semasa pelajar Sains di kedua-dua buah negara, bahkan juga untuk membentuk keperibadian bakal guru unggul melalui pendedahan pengalaman daripada budaya yang pelbagai dan memberi peluang serta pengalaman baru di luar bilik darjah kepada mahasiswa/i.