Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 31 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menutup tirai tahun 2024 dengan pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa, menjadikan tahun ini penuh bermakna untuk universiti bersejarah itu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam ucapan penghujung tahun, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk warga universiti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), masyarakat Muallim, Negeri Perak, dan rakyat Malaysia atas sokongan padu terhadap UPSI.

“Berkat doa dan usaha semua pihak, UPSI kini berdiri sebaris dengan universiti ternama, berada dalam kelompok 600 universiti terbaik dunia, 151 terbaik dalam bidang Pendidikan, dan 151 terbaik di Asia.

UPSI kini berada antara 600 universiti terbaik di dunia, 151 terbaik di dunia dalam bidang Pendidikan dan 151 terbaik di Asia

“Kami bertekad untuk mencapai 100 universiti terbaik dunia dalam bidang Pendidikan menjelang 2030.

Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini tidak akan terhasil tanpa usaha gigih setiap warga UPSI.

“Setiap kejayaan yang diraih adalah hasil daripada sinergi antara tenaga akademik, pentadbiran, pelajar, dan alumni. Kami berterima kasih kepada semua yang terus memberikan sokongan kepada UPSI.

Beliau turut mengulas mengenai kepentingan memperkukuh hubungan antarabangsa UPSI.

Kolaborasi strategik UPSI di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2020 hingga 2024

“Kerjasama dengan institusi antarabangsa, termasuk melalui penubuhan pusat di Xian, China, adalah langkah strategik untuk memastikan UPSI terus relevan di peringkat global. Ia juga membuktikan komitmen kami terhadap pendidikan bertaraf dunia,” jelas beliau.

Jumlah warga UPSI kini melebihi 30,000, dengan hampir 20 peratus atau 6,000 pelajar mengikuti pengajian pascasiswazah.

8 pusat antarabangsa UPSI yang diwujudkan

Seramai 1,600 pelajar antarabangsa dari 31 negara turut memilih UPSI sebagai destinasi ilmu, menjana impak ekonomi lebih RM500 juta kepada Daerah Muallim dan Negeri Perak.

UPSI terus memperkukuh kepelbagaian akademiknya melalui inisiatif seperti Program APEL Q, ijazah berkembar, mobiliti antarabangsa, dan akreditasi antarabangsa daripada ASIIN dan ABEST21.

“Penubuhan pusat antarabangsa di Xian, China, turut menjadi bukti komitmen UPSI dalam pendidikan global.

Penjanaan yang diperolehi UPSI melalui penganjuran program

Tambah beliau, tahun 2024 menyaksikan UPSI menjana lebih RM110 juta melalui pelbagai inisiatif seperti pengkomersialan fasiliti, penyelidikan, dan projek solar.

“Bidang 4P (penyelidikan, perundingan, penerbitan, pengkomersilan) menyumbang RM38 juta, pencapaian terbaik dalam sejarah UPSI.

Warga UPSI turut mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk anugerah Profesor Kehormat untuk Prof Dr Che Zailina dari Uzbekistan dan pelantikan Prof Ramlee Mustapha sebagai Ahli Majlis TVET Negara.

“Seramai 64 warga universiti juga dihantar ke kursus antarabangsa di institusi terkemuka seperti Oxford University dan MIT.

Kecemerlangan pelajar UPSI terserlah melalui kejayaan dalam karnival SUKIPT, SUKMA 2024, dan pelbagai kejohanan seni. Pelajar Fakulti Bahasa dan pelajar tahfiz dari Fakulti Sains Kemanusiaan turut membawa nama UPSI ke pentas antarabangsa.

UPSI terus mengukuhkan kedudukannya dengan fasiliti bertaraf antarabangsa seperti UPSI Sports Bowl, Pusat Kokurikulum, Perpustakaan Digital, dan Sekolah Seri Budiman.

“Projek pembangunan seperti Kampus Teluk Intan juga diteruskan dengan bajet yang diluluskan oleh kerajaan.

Dr. Md Amin turut menyeru warga UPSI untuk menjawab cabaran tahun 2025, termasuk melahirkan pendidik sejati, memperkukuh pengalaman pembelajaran, dan memastikan manfaat universiti dirasai oleh masyarakat setempat.

BITARA adalah  jenama unggul yang sinonim dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mencerminkan visi dan misi UPSI sebagai institusi pendidikan yang berfokus kepada kecemerlangan akademik, inovasi, dan impak sosial.
 

“Marilah kita bersama-sama menjadikan UPSI bukan sahaja gah di Muallim, tetapi juga tersohor di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyatakan aspirasi untuk UPSI menjadi pemangkin kepada perubahan sosial.

“Kita mahu UPSI bukan sekadar institusi akademik, tetapi sebagai institusi yang membentuk masyarakat dan memacu perubahan ke arah kebaikan,” ujar beliau.