Oleh: Claudia Sendai anak Runi
Tanjong Malim, 5 Januari 2025 – Exco Penginapan dan Kebajikan, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2024/2025 telah mengadakan sebuah program yang mampu membantu golongan Gen Z dalam mengendalikan tekanan dan kesejahteraan mental. Program ini dilancarkan agar memberi pendedahan yang mendalam kepada mahasiswa IPTA/IPTS dan orang awam mengenai kesejahteraan mental dan emosi bagi mewujudkan suasana pendidikan tinggi yang berkualiti.
Fairrymond Filipi Ak Juny selaku Pengarah Program memanjatkan rasa syukur atas kejayaan program ini. Beliau berharap agar setiap ilmu, kemahiran serta pengalaman yang diperoleh melalui program ‘Waving: Wellness and Vitality New Gen Empowerment‘ dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian masyarakat. “Ingatlah, kesejahteraan mental dan fizikal adalah kunci kejayaan dalam kehidupan dan anda semua memiliki kemampuan untuk menjadi contoh kepada generasi akan datang,” ujarnya. Diharapkan agar program-program efektif seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang agar dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan mental mahasiswa IPTA/IPTS dan orang awam.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPSI Profesor Dr. Norkhalid Salimin , program ini memberikan impak yang positif kepada semua peserta. “Kesihatan mental adalah aspek penting dalam kehidupan kita. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan mental tetapi juga menyediakan pendidikan dan pengetahuan terkini dalam menangani isu-isu kesihatan mental,” katanya.
Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, peserta kini lebih bersedia untuk menguruskan cabaran mental mereka sendiri dan membantu orang lain di sekitar mereka dengan lebih efektif. Inisiatif ini diharapkan dapat membawa perubahan yang signifikan dalam sikap masyarakat terhadap kesihatan mental, seterusnya mengurangkan stigma yang sering dikaitkan dengan masalah ini.

Yang Dihormati Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safri Kamal Ahmad merasmikan program dalam ucapannya meluahkan rasa bangga kerana program penting seperti ini dapat dilaksanakan dengan lancar. “Inisiatif dan langkah-langkah yang diambil melalui program ini bukan sahaja membantu mengurangkan masalah kesihatan mental tetapi juga memberikan laluan serta menyediakan platform untuk perbincangan yang konstruktif. Maklumat dan informasi yang dikongsikan dalam program ini juga adalah sangat bermanfaat terutamanya kepada generasi kini dalam usaha menguruskan kesihatan mental mereka bagi melahirkan individu yang holistik,” ujar beliau.


Program ini telah menarik perhatian dan penyertaan yang aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik secara dalam talian dan hadir secara bersemuka bagi memeriahkan lagi program ini. Antara aktiviti menarik yang dijalankan dalam program ini adalah slot ‘Stress-Free Day‘ yang menawarkan pendekatan kreatif dan praktikal untuk membantu peserta menguruskan stres melalui gabungan permainan.


Tambahan, program ini telah menjemput tiga orang panel berpengetahuan tinggi yang terdiri daripada pakar psikiatri Dr. Azlina Mohd Shah Rudin, pakar pengurusan stress dan Pengasas Unmask Yourself, Amirul Amri, Miss World Malaysia 2023 Saroop Roshi untuk memberikan pandangan bernas, analisis mendalam serta solusi praktikal relevan dengan Program ‘Waving: Wellness and Vitality New Gen Empowerment’. Para panel ini telah berjaya memberikan impak besar kepada peserta dengan pendekatan ilmiah dan interaktif.

