Oleh: Nur Ilya Nazifa Suhaimi & Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib
Pantai Remis, 4 Januari 2025- Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah pengurusan Majlis Tertinggi Persatuan menyertai aktiviti bercirikan kesukarelawanan dan pemeliharaan sumber semula jadi iaitu pembersihan pantai yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor sempena Karnival Jelajah Belia Madani Selangor di Pantai Remis, Selangor.
Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai kepentingan pemeliharaan sumber semula jadi. Selain itu, program ini juga dapat untuk memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan belia serta memperkukuhkan nilai gotong-royong sebagai satu usaha kolektif dalam memelihara alam sekitar. Hal ini selaras dengan Amalan Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDG) khususnya menekankan SDG 13 (Tindakan Memerangi Perubahan Iklim) dan SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air) telah dijalankan.
Persatuan Geografi mengambil inisiatif merencana program dengan penglibatan seramai 12 orang wakil aktivis Persatuan Geografi dan 2000 orang peserta daripada pelbagai pihak. Di samping itu, ‘Program Pembersihan Pantai Remis sempena Karnival Jelajah Belia Madani Selangor’ telah berjaya mencapai objektif utamanya untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar, khususnya kebersihan pantai, dalam kalangan peserta.


Program ini memberi peluang kepada peserta, terutamanya aktivis Persatuan Geografi (PERGEO), untuk menanam rasa tanggungjawab sosial sambil memperkukuhkan nilai kesukarelawanan. Selain itu, program ini juga berfungsi sebagai platform untuk para sukarelawan meningkatkan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, komunikasi, dan pengurusan masa melalui aktiviti yang dianjurkan. Pengisian program merangkumi beberapa sesi penting. Sesi pertama dimulakan dengan taklimat ringkas dan persediaan di lokasi sebelum bertolak ke Pantai Remis. Sesi kedua menampilkan aktiviti utama iaitu pembersihan pantai, yang telah berjaya mengurangkan jumlah sampah dan bahan buangan di kawasan tersebut. Para peserta juga berpeluang untuk memahami secara praktikal bagaimana penjagaan alam sekitar dapat memberi kesan langsung kepada kelestarian kawasan pesisiran pantai. Program diakhiri dengan sesi fotografi dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, mencerminkan semangat gotong-royong yang terjalin sepanjang program.

Program ini telah memberi impak positif kepada semua peserta dan pihak yang terlibat, termasuk komuniti setempat yang menghargai usaha murni ini. Dengan kejayaan penganjuran program ini, diharapkan Persatuan Geografi dapat terus melangkah ke hadapan dalam menganjurkan lebih banyak program yang bersifat kesukarelawanan dan khidmat masyarakat, seterusnya melatih barisan kepimpinan persatuan untuk berkembang dari segi kemahiran insaniah dan kepimpinan.
