Oleh: MUHAMAD SUFIAN BIN MOHAMAD SAIDI

TANJUNG MALIM, 31 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Islam dengan kerjasama Al Mursyidin Club, Fakulti Pembangunan Manusia, Kolej Kediaman Bersepadu, Rakan Siswa YADIM, Persatuan Pendidikan Islam, Kelab Sahabat Ulul Albab, Kelab Harmoni, Persatuan Bahasa Arab dan Media Seekers berjaya menganjurkan program Maghrib Macam Raya 1.0 dan Sambutan Tahun Baru 2025 bertempat di Perkarangan Masjid Al Mursyidin UPSI.

Program yang bermula pada jam 5.30 petang itu menghimpunkan lebih 2,000 pelajar UPSI dan warga kampus, termasuk kehadiran tetamu kehormat seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, pengurusan utama universiti, dekan-dekan fakulti serta pengetua-pengetua kolej kediaman.

Menariknya, program ini turut mendapat sokongan daripada sukarelawan yang hadir bergotong-royong memasak makanan untuk disajikan kepada para peserta.

Aktiviti ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPSI, Puan Hajah Maskana Ahmad yang turut bersama para sukarelawan dalam membantu menyempurnakan persiapan makanan.

Kehadiran beliau memberi motivasi kepada para sukarelawan serta menyerlahkan nilai kebersamaan dalam menganjurkan program ini.

Acara dimulakan dengan bacaan Yasin, tahlil, dan doa selamat, diikuti solat berjemaah dan makan malam bersama.

Aktiviti malam pula diteruskan dengan forum bertajuk “Refleksi: Meniti Jalan Perubahan” yang menampilkan dua panel terkemuka, iaitu Timbalan Mufti Perak, Sahibus Samahah Dato’ Zamri Hashim dan CEO Tarbiyah Sentap, Ustaz Adnin Roslan. Forum ini memberikan pengisian rohani yang mendalam dan bermanfaat kepada para peserta.

Selain forum, program ini turut menyediakan pelbagai tarikan seperti aktiviti untuk kanak-kanak dan booth jualan buku terbitan Tarbiyah Sentap.

Para pelajar yang hadir juga menerima e-sijil sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Majlis berakhir dengan jayanya pada jam 11.00 malam, meninggalkan kesan positif kepada semua yang hadir.

Program ini membuktikan komitmen UPSI dalam memupuk nilai-nilai rohani dan moral, sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.