Oleh : MUHAMMAD LUQMAN HAKIM SAGIR

Tanjong Malim, 26 oktober 2024 Dua orang pelajar ijazah sarjana muda daripada Fakulti Teknikal & Vokasinal dan Fakulti Sains & Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu Muhammad Isyraf Firdaus Hassim (ketua) serta Muhammad Luqman Hakim Sagir bertekad untuk menceburi bidang inovasi.

Bermula daripada projek tugasan kerja kursus yang kemudiannya dinaik taraf, siapa sangka projek yang diberi nama Aqualens ini berjaya meraih kemenangan  dalam beberapa pertandingan inovasi tanpa sebarang pengawasan daripada penyelia pada awalnya.

Kemenangan yang diperoleh ini juga merupakan hasil kerja keras, kesungguhan dan minat mendalam mereka dalam dunia inovasi.

Berkonsepkan akuaponik iaitu gabungan akuakultur dan hidroponik, projek ini  memaparkan keunikan yang tersendiri dengan penggunaan bahan kitar semula.  Selain itu, ia turut mengutamakan inisiatif melestarikan kampus melalui penggunaan sistem solar untuk menjimatkan elektrik, penerapan lampu LED yang lebih cekap  tenaga, serta penanaman rumput estetik sebagai penyeri landskap.

Projek ini juga  dilengkapi dengan sistem keselamatan seperti pagar dan pelindung wayar,  menjadikannya lebih mesra alam dan selamat.

Di samping itu, projek Aqualens juga telah memperoleh beberapa anugerah yang  membanggakan. Antaranya adalah Anugerah Gangsa dalam Innovation Creativity  Competition (ICC2024) peringkat kebangsaan, serta Naib Johan dalam Pertandingan  Inovasi Alam Sekitar (Ecoeureka), juga di peringkat kebangsaan.

Mereka turut berjaya  meraih Tempat Ketiga (Anugerah Perak) dalam Ulul Albab Innovation-Competition Exhibition 2.0 peringkat antarabangsa pada 26 oktober 2024 lalu.

Terbaru, mereka telah mendapat penyelia iaitu Dr. Mohd Nazri Abdul Raji yang  juga merupakan pensyarah di Fakulti Teknikal dan Vokasional.

“Kami amat  bersyukur kerana mendapat penyelia yang sangat membantu. Setelah bertemu  dengan beliau, kami dapat mengenal pasti kekurangan kami dan menjadi lebih  bermotivasi untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik,” ujar mereka.

Dalam masa terdekat, Aqualens akan bersaing dalam tiga pertandingan inovasi  peringkat antarabangsa, dengan harapan untuk memperluas jangkauan dan  memperkenalkan solusi inovatif mereka kepada pasaran global.

Mereka juga  berharap dapat mempelajari pengalaman berharga dari pesaing-pesaing luar negara  dan terus meningkatkan produk mereka ke tahap yang lebih tinggi, demi memberi  impak positif kepada masyarakat di seluruh dunia.