Oleh: Muhammad Rais Mujahid Mohd Redzuan, Nurul Norshafiqah Aqila Shaari, Noraisyah Ellyana Anuar & Nurul Alia Mohd Yunus
Tanjong Malim, 13 Disember 2024– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sudah berkembang maju dengan pesat dek kerana zaman seiring dengan hubungan antarabangsa yang baik sehingga mengangkat imej universiti di seluruh pelusuk dunia.
Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuat satu kunjungan ke USL Educational Supplies (M) Sdn Bhd yang merupakan satu projek keusahawanan yang diketuai oleh Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi dibawah UPSIpreneur sebagai pendedahan awal kepada beberapa pelajar terpilih yang berlangsung pada 9 hingga 13 Disember 2024. Seramai 33 peserta dari FPM, juga penceramah jemputan dan wakil-wail agensi turut hadir ke Wisma USL, Kajang Perdana, Selangor bagi memberikan sesi penyampaian slot dan memantapkan lagi Kursus Pensijilan Usahawan Pendidikan Awal Kanak-kanak (USPAKK) ini.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai ilmu dan kemahiran keusahawanan, memupuk pemikiran kreatif serta inovatif dalam kalangan peserta, di samping membimbing mereka dengan pengetahuan praktikal dan strategi yang diperlukan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan atau perkhidmatan yang berpotensi di pasaran.

Pengasas USL Educational Supplies (M) Sdn Bhd, Chen Lee Ming telah berbesar hati menyumbangkan modal permulaan perniagaan bernilai RM7,600 dalam bentuk barangan pendidikan kepada FPM dan program UPSIpreneur. Sumbangan ini bukan sahaja sebagai tanda sokongan padu terhadap usaha memupuk semangat keusahawanan, tetapi juga sebagai dorongan buat peserta kursus USPAKK untuk merealisasikan hasrat memulakan perniagaan atau perkhidmatan yang dirancang, sekaligus memperkasa mereka dalam dunia keusahawanan.
Kursus ini diadakan selama lima hari ini dipenuhi dengan slot-slot dan aktiviti yang bermakna untuk para peserta. Setiap slot dimeriahkan dengan pengisian oleh penceramah jemputan dan wakil agensi-agensi yang turut berkerjasama untuk memantapkan lagi kursus USPAKK ini. Dalam kursus ini juga, para peserta diminta untuk menyiapkan beberapa tugasan berkumpulan mengikut aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut. Pengisian aktiviti dimulakan dengan Slot 1 iaitu ‘Minda Usahawan’ oleh Dr. Nik Muhd Hanis. Slot ini memfokuskan apa yang perlu dimiliki oleh seseorang yang ingin bergelar usahawan iaitu perlulah mempunyai matlamat yang besar dan jelas.

Hari kedua kursus, para peserta diberi pendedahan dan sedikit ilmu tentang topik Pengesanan dan Penyaringan Kanak-kanak Berkeperluan Khas oleh Dr Nurbieta Abdul Aziz. Seterusnya penekanan slot aktiviti pada hari tersebut adalah tentang USL Educational Supplies Sdn Bhd oleh Chen Lee Ming dan Hiew Yit Thang. Secara ringkasnya dalam slot ini, para peserta berpeluang untuk mengamati peralatan-peralatan pembelajaran USL dan memadankan dengan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang bersesuaian.
Pengisian aktiviti pada hari ketiga diteruskan bersama Nurshahidah Abd Jalil dan Nur Sakinah Amir Zaimi daripada pihak Warna Kids. Slot bersama dua tetamu ini memberi input menarik kepada para peserta tentang program-program yang ditawarkan oleh Warna Kids dan bagaimana Warna Kids dapat membantu para guru dan usahawan tadika untuk mengembangkan potensi diri, tadika dan anak-anak murid ke tahap yang lebih memberangsangkan. Menerusi slot Bengkel Penyediaan Pakej Peralatan Program Membaca Warna Kids, para peserta diberi tugasan menarik dimana mereka perlu menyesuaikan permainan dan peralatan pembelajaran USL dengan pakej-pakej yang ditawarkan oleh Warna Kids mengikut subjek seperti Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Islam dan sebagainya.

Seterusnya, para peserta menerima kehadiran pihak Al-Fikh Orchard, Siti Ruzita Ramli yang berkongsi ilmu mengenai bantuan yang disediakan dan tips kepada bakal-bakal usahawan yang hendak membuka tadika sendiri. Untuk hari keempat ini, pengisian aktiviti adalah tentang Penerangan EICC Al-Fikh Orchard, Penyediaan Modul EICC Al-Fikh Orchard dan Bengkel Penyediaan Pakej Peralatan EICC Al-Fikh Orchard. Tugasan yang diperuntukkan kepada para peserta adalah mereka perlu menyediakan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran sensori kanak-kanak menggunakan peralatan pembelajaran USL.

Slot aktiviti masih lagi diteruskan dengan aktiviti pada hari terakhir kursus, Pembentangan Pelajar mengikut Kumpulan Usahawan. Terdapat tiga kumpulan pembentangan iaitu Kumpulan Screening, Kumpulan Kelas Membaca dan Kumpulan Intervensi. Dalam sesi pembentangan ini, pelbagai idea mengenai produk dan modus operandi pengoperasian diketengahkan mengikut kumpulan usahawan masing-masing. Majlis perasmian penutup pula dirasmikan dengan ucapan oleh tetamu jemputan iaitu Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FPM Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan, Dr Seah Siok Peh (Ketua Jabatan PAKK), Dr Nurbieta Abdul Aziz dan Dr Rosmini Ismail (Penyelaras Keusahawanan EDGE) serta sesi penyampaian hadiah untuk kumpulan peserta yang telah menjayakan tugasan dengan baik. Kursus keusahawanan ini berakhir dengan sesi fotografi dan para peserta bergerak pulang ke UPSI.
Harapan fakulti adalah melalui program ini lebih banyak kerjasama melibatkan penyelidikan, perundingan, penerbitan, mobiliti pensyarah dan pelajar (inbound dan outbound) yang berimpak tinggi dan mengharumkan lagi nama FPM dan UPSI ke peringkat antarabangsa.
