Oleh : Dr. Abu Zarrin Selamat & Nur Adila Mohamad Munshi

Tanjong Malaim, 8 Januari 2025– Pihak Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan satu Perjumpaan Amanat dan Dialog ini disampaikan oleh Dr. Abu Zaarin Selamat yang dihadiri oleh Majlis Tertinggi dan EXCO bagi enam buah persatuan di  FSK yang terdiri daripada Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas), Persatuan Geografi  (PERGEO), Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Persatuan Tahfiz dan Qiraat (PTQ) dan Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR).

Slot Amanat dan Dialog bersama Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merupakan salah satu inisiatif yang diadakan di peringkat fakulti bertujuan untuk membincangkan fokus, matlamat dan hala tuju fakulti. Dr. Abu Zaarin telah memberikan penekanan berkaitan aspek-aspek penting yang mesti dijadikan panduan oleh setiap persatuan fakulti bagi memenuhi elemen-elemen yang disenaraikan dalam Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI). Terdapat penanda aras bagi strategi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dilihat berdasarkan peringkat umum, peringkat fakulti dan peringkat persatuan.

Amanat Dr. Abu Zaarin dengan menggalakkan setiap persatuan menekankan beberapa aspek bagi memastikan setiap program yang dirancang mencapai standard yang disasarkan. Antara strategi bagi peringkat persatuan yang dititiberatkan oleh beliau ialah aspek penerbitan, program bersama alumni, program kecemerlangan akademik, program Corporate Social Responsibility (CSR), program University Community Engagement (UCE), program bakul makanan, program berasaskan SDG serta program anugerah kecemerlangan pelajar.

Bukan itu sahaja, perjumpaan ini turut mendedahkan pencapaian UPSI dan FSK yang dapat dilihat apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris mencapai kejayaan dalam The World University Ranking by Subject 2023.  Bahkan, Fakulti Sains Kemanusiaan berjaya menyandang Anugerah Fakulti Terbaik di universiti. Bahkan, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan turut menekankan elemen yang dibawa oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu B (Bangga UPSI), A (Adab), I (Ilmu), K (Keluarga) dan K (Kreativiti dan Inovasi). Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris juga menekankan elemen U (Ukhwah), P (Prihatin), S (Santun) dan I (Impak).

Hala tuju yang ditetapkan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris berdasarkan elemen B (Bakat Unggul dan Holistik), I (Inovasi dan Penyelidikan), T (Transformasi Teknologi), A (Adab, Akhlak dan Akademik), R (Revolusi Ekosistem) dan A (Adaptasi Global). Bukan itu sahaja, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSK turut menekankan aspek 4A iaitu Akhlak, Adab, Akhlak dan Akademik (Adulate).

Perjumpaan ini telah menjadi penanda aras bagi setiap persatuan sebagai salah satu pendedahan berkaitan fakulti  serta menyampaikan amanat demi kemajuan fakulti serta meningkatkan semangat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa FSK secara proaktif.