Oleh: Nasrin Amani Binti Ali

Tanjong Malim, 18 Disember 2024 – Majlis Anak Johor (M@JOR) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pusat Kaunseling dan Bimbingan (KASIH) serta Persatuan Siswa Siswi Pertahanan Awam (PASISPA) telah berbesar hati menganjurkan  forum bermanfaat bertajuk Bicara Minda: Kawalan Fikiran Positif. Program ini telah dijalankan secara atas talian melalui platform Google Meet bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menyedari kesihatan minda adalah satu aspek yang penting, program  ini merupakan satu daya usaha M@JOR bersama rakan kolaborasi untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan minda serta mengenali tanda-tanda awal masalah minda, khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UPSI. Selain itu, program ini menyediakan ruang yang selesa dan selamat untuk mahasiswa dan mahasiswi berkongsi cabaran serta pengalaman mereka tanpa perlu merasa takut atau bimbang akan dihakimi. Melalui pendekatan ini, peserta diharap dapat meluahkan perasaan mereka dengan lebih terbuka, sekaligus memupuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap kepentingan kesihatan minda.

Seramai dua penceramah jemputan iaitu Pegawai Psikologi Pusat Kaunseling UPSI, Najidah Yahaya dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri dijemput bagi bersama-sama berkongsi ilmu tentang kesihatan minda. Program ini telah dikendalikan oleh seramai 24 orang ahli M@JOR yang diketuai oleh Pengarah Program, Nur Fatinah Anati Othman dan telah disertai oleh lebih 600 orang peserta yang telah bersama-sama berkongsi pengalaman dan soalan bagi pencerahan tentang isu kesihatan minda bersama penceramah jemputan.

“Kesihatan mental adalah salah satu aspek yang amat penting dalam kehidupan kita. Dalam dunia yang semakin sibuk dan penuh cabaran ini, kesihatan mental sering kali terpinggir, walaupun ia mempengaruhi cara kita berfikir, berasa, dan bertindak. Masalah mental yang tidak ditangani dengan baik bukan sahaja memberi kesan kepada individu, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat, malah negara. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita sentiasa memberi perhatian kepada isu ini, untuk memastikan kesejahteraan hidup yang lebih holistik,” kata Yang Dipertua Majlis Anak Johor sesi 2024 / 2025 Nora Asyikin Musa dalam ucapan perasmian program.

Program tersebut telah dijalankan pada jam 8 malam, program dimulakan dengan kemasukan peserta ke pautan yang telah disediakan oleh ahli jawatankuasa pendaftaran sebelum program bermula. Tepat pada jam 8:30 malam, majlis berlangsung dan dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, Nur Nadhilah Asyiqin binti Sidik  dan diiringi dengan bacaan doa yang diketuai oleh Muhammad Faqrul Azzim Rasid. Seterusnya, program dilaksanakan dengan meneruskan program yang dikendalikan oleh moderator, Muhammad Mursyid Md Salman untuk sesi pengisian bersama penceramah.

Sebanyak tiga tajuk yang bermanfaat telah dibincangkan sepanjang forum dilaksanakan dan banyak ilmu yang telah disampaikan sepanjang perkongsian. Setelah perkongsian, peserta diberi peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan berkaitan dengan kesihatan minda. Program diakhiri dengan sesi fotografi secara atas talian yang telah dikendalikan oleh ahli jawatankuasa publisiti dan informasi. Pautan kehadiran telah disediakan oleh ahli jawatankuasa pendaftaran di ruangan komen bagi tujuan maklum balas peserta tentang program tersebut.

Sebagai penutup wacana, program ini telah sedikit sebanyak memberikan impak kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI tentang kesedaran kesihatan minda dan cara mengawalnya. Diharapkan agar program seperti ini boleh dianjurkan dengan kerap pada masa akan datang secara bersemuka mahupun secara atas talian sebagai medium perkongsian yang bermanfaat kepada semua mahasiswa dan mahasiswi. Program seperti ini sangat bermanfaat untuk membuka minda masyarakat tentang kepentingan kesihatan minda.