Oleh: Mohamad Haikal
Tanjong Malim, 2 Januari 2025– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah sebagai pusat pendidikan tinggi unggul apabila menerima kunjungan 31 orang pelajar dan tiga guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pagoh dalam program bertemakan Jelajah Aspirasi: Menelusuri UPSI. Program selama tiga hari ini merupakan inisiatif dan anjuran Majlis Anak Johor (M@JOR) dengan sokongan kolaborasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), UPSI dan SMKA Pagoh.
Program ini bertujuan memperkenalkan UPSI sebagai destinasi pendidikan tinggi sekali gus menggalakkan pelajar untuk mengejar impian mereka melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain memberikan pendedahan kepada suasana universiti, lawatan ini juga memupuk semangat perpaduan antara pelajar dan mahasiswa serta meningkatkan keyakinan pelajar melalui pelbagai aktiviti interaktif.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada seluruh warga SMKA Pagoh, khususnya guru-guru pengiring yang sudi membawa para pelajar ke UPSI untuk merasai sendiri pengalaman berada di universiti. Terima kasih juga saya tujukan kepada ahli jawatankuasa M@JOR atas komitmen mereka sepanjang program ini berlangsung, yang telah banyak membantu mencetuskan semangat pelajar untuk terus melangkah ke menara gading dan mencapai impian pendidikan mereka di UPSI,” kata Timbalan Pengarah (Unit Media) BKK, Prof. Madya. Dr. Ghazali Din.


Aktiviti pertama yang dijalankan setibanya mereka di UPSI ialah sesi Ice Breaking bersama mahasiswa Anak Johor yang diadakan di Pusat Aktiviti Pelajar Kolej Aminuddin Baki, UPSI. Dalam sesi ini, pelbagai ragam pelajar dapat disaksikan ketika mereka melaksanakan aktiviti yang dirancang. Objektif sesi ini juga adalah untuk menguji kerjasama antara ahli kumpulan, di mana mereka perlu mengerah idea daripada setiap anggota untuk mencapai kejayaan. Selepas sesi tersebut, para pelajar kembali ke tempat penginapan untuk berehat dan bersiap menghadapi aktiviti keesokan harinya.


Keesokan harinya, para pelajar juga diiringi oleh mahasiswa anak Johor untuk mengelilingi dan melihat pelbagai kemudahan infastruktur dan bangunan bersejarah yang terdapat di UPSI. “Satu pengalaman yang luar biasa kerana tidak pernah menyangka universiti boleh menawarkan pengalaman sebegini. Pertama kali dalam seumur hidup, saya dapat melihat pokok bunga matahari serta bermain boling sepuasnya!” kata salah seorang pelajar dari SMKA Pagoh. Program ini diakhiri dengan Malam Kebudayaan dan majlis penutup pula diadakan pada pagi keesokan harinya.
Justeru itu, pelaksanaan program berimpak tinggi seperti ini diharapkan agar dapat diteruskan pada masa akan datang. Hal ini dikatakan demikian kerana program sebegini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati pengalaman awal yang luar biasa tentang pentingnya ilmu sebagai tonggak kehidupan. Program sebegini bukan sahaja mampu membangkitkan aspirasi untuk melangkah ke menara gading tetapi juga menanam tekad dalam diri pelajar untuk menjadikan pendidikan sebagai kunci utama menuju kecemerlangan dan merealisasikan impian masa depan yang gemilang.
