Oleh: Encik Muhamad Hafiz Abd Manap
Eco Tree Melaka, 19 Januari 2025 – Kolej Ungku Omar (KUO) terus memperkukuh hala tuju strategik bagi tahun 2025 dengan menekankan keseimbangan akademik dan akhlak, pembangunan sahsiah, dan kebajikan pelajar sebagai aspek terpenting dalam memacu kolej dan universiti selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Hala tuju KUO 2025 bertujuan melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah yang terpuji dan kesejahteraan yang terjamin.

dan barisan MMK KUO
Menurut Pengetua KUO, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, aspek pembangunan sahsiah pelajar menjadi teras utama dalam merangka program-program di peringkat kolej dan universiti.
“Kami komited untuk membangunkan pelajar bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga memastikan mereka mempunyai keperibadian yang kuat, nilai etika yang tinggi, serta kemahiran kepimpinan yang dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.

Program-program seperti latihan kepimpinan, kem kemahiran insaniah, pendedahan komuniti dan global, keusahawanan serta aktiviti kebajikan telah diperkenalkan untuk memastikan mereka berkembang secara menyeluruh,” katanya.
Di samping itu, KUO turut memberi fokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan pengurusan kepada pelajar dan saingan sihat dalam penglibatan penganjuran anugerah dan pertandingan.
Kakitangan dan pelajar akan diberikan peluang untuk menyampaikan idea dan cadangan bagi sama-sama membantu dalam penghasilan kualiti kerja dan pelaksanaan aktiviti yang berimpak.
“Kami akan terus berusaha dalam memberikan kemudahan penginapan dan infrastruktur yang terbaik buat pelajar dan felo-felo akan sentiasa bersama pemimpin pelajar untuk menyokong hasrat ini.
Program-program kami dirancang dengan teliti untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan di pasaran global,” ujar beliau lagi.

KUO juga turut memberi perhatian serius terhadap kebajikan pelajar, terutamanya dalam aspek kesihatan fizikal dan mental.
KUO menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk membantu pelajar menangani tekanan dan cabaran dalam kehidupan universiti.
“Kami faham bahawa kehidupan sebagai pelajar sering kali penuh dengan cabaran, dan oleh itu, sokongan dari segi kesihatan mental dan fizikal amat penting.

Program-program sokongan seperti sesi kaunseling dengan bantuan Pusat Kaunseling, Gerobok Rezeki KUO turut disediakan bagi memastikan kesejahteraan pelajar terjaga sepanjang mereka menginapan di KUO,” kata Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan.
Dengan merangka hala tuju KUO 2025 yang holistik, kolej ini bertekad untuk mencipta ekosistem penginapan yang seimbang, di mana setiap pelajar bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga berkembang menjadi individu yang beretika, berdaya saing, dan sihat dari segi fizikal dan mental.

Melalui keseimbangan dalam akademik dan akhlak, pembangunan sahsiah, serta kebajikan pelajar, diharapkan dengan usaha ini dapat melahirkan generasi pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa depan dan sentiasa bersyukur dengan limpahan kemudahan yang disediakan.
