Oleh : Natasya Farina Rashid, Prof. Madya Dr Husna Husain & Prof. Dr Azmil Hashim
TANJONG MALIM, 17 Januari 2025- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) telah menganjurkan Majlis Pelantikan dan Syarahan Budiman yang bertajuk ‘Memperkasa Generasi Huffaz Al-Quran di Malaysia. Syarahan tersebut disampaikan oleh Prof. Dr. Abd Rahman Abd Ghani di Dewan Mu’allim, Scholar Suites UPSI.

Majlis bermula dengan ucapan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff. Beliau menjelaskan UPSI merupakan satu-satunya universiti yang melaksanakan majlis seperti ini bagi mengiktiraf ketokohan akademia dalam pelbagai bidang. Di dalam ucapan beliau menekankan tentang peranan institusi tahfiz dalam melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja boleh menghafaz al-Quran semata-mata, akan tetapi mahir dalam pelbagai bidang. Beliau berpandangan, ilmu agama dan ilmu lain perlu selari bagi melahirkan generasi huffaz yang mampu menunjuk kepada jalan kebenaran dan menegakkan ummah. Harapan beliau supaya halatuju pendidikan tahfiz di UPSI dapat membawa perubahan kepada sistem pendidikan tahfiz negara.
Semasa sesi pelantikan Prof. Dr. Abd Rahman Abd Ghani, Prof. Dato’ Dr. Md menjemput ibu mertua dan isteri Prof. Dr. Abd Rahman Abd Ghani bagi sesi pemakaian jubah. Suasana bertukar sebak dan hiba apabila Prof. Dato’ Dr. Md Amin menekankan tentang pengorbanan ibu dan isteri yang sangat besar dalam perjuangan seorang ahli akademik.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkongsi kejayaan-kejayaan yang dikecapi oleh Prof. Dr. Abd Rahman Abd Ghani seterusnya mengucapkan tahniah di atas ketekunan dan kegigihan beliau dalam dunia akademik.
“Sesungguhnya, kegigihan dan kesungguhan beliau menyebabkan beliau telah berjaya menghasilkan lebih daripada 10 buah buku yang berkaitan dengan al-Quran dan Qiraat. Pada tahun 2015, penulisan beliau telah menerima pengiktirafan Anugerah Buku Negara menerusi buku karangannya “Tartil Al-Quran”. Beliau juga telah berjaya mencipta suatu modul Teknik Mudah Mempelajari Bacaan Al-Quran yang diberi nama Manhaj al-Furqan yang telah tersebar luas sehingga ke negara Singapura”, tambah beliau.
Prof. Dr. Abd Rahman memulakan syarahannya dengan menekankan tentang kelebihan dan keistimewaan orang yang menghafaz al-Quran. Beliau menegaskan huffaz al-Quran bukanlah orang yang menghafaz al-Quran semata-mata, akan tetapi memahami, menghayati dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian. Para huffaz juga wajib mengetahui perkara yang berkaitan dengan al-Quran seperti tajwid, kaedah penulisan al-Quran, kaedah peletakan tanda-tanda al-Quran dan asas kepelbagaian bacaan (Qiraat).
Beliau juga berkongsi tentang 6 cadangan mempertingkatkan kualiti huffaz antaranya mengemaskini konten berkaitan al-Quran, penguasaan Bahasa Arab, penguasaan ilmu fardhu ain dan kifayah, penguasaan ilmu berkaitan al-Quran, penguasaan pedagogi al-Quran dan penguasaan perancangan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Beliau akhiri syarahan beliau dengan harapan semoga generasi huffaz yang berkualiti dapat dilahirkan dengan pemerkasaan kepada 6 aspek yang disebutkan.
Majlis syarahan ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Ismail Kamari merupakan pengasas Sekolah Rendah Tahfiz Integrasi Ibnu Ismail Kamari dan Tuan Haji Supki Haji Sidek merupakan Presiden Perikatan Tulisan Jawi Singapura. Turut hadir Profesor Dr. Abdul Rahim Razali, Profesor Dr. Norkhalid Salimin dan Pendaftar UPSI, En Helmi Zaifura Abdul Rahman. Selain itu, 40 orang pelajar daripada Darul Quran dan Kolej Hafiz juga turut hadir memeriahkan majlis ini.
