Oleh: Prof.Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Nurul Syafiqa Saidi, Mazlini Adnan, Mohd Ihsan Mohamad Ismail
Ipoh, 20 Disember- Kajian lapangan merupakan elemen penting dalam pembelajaran geografi dan sering menjadi platform terbaik untuk mengasah kemahiran analitik serta praktikal dalam kalangan pelajar. Sekumpulan pelajar daripada Kursus Kajian Iklim (HGF3073) telah mengadakan lawatan kerja lapangan ke Pejabat Meteorologi Ipoh sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran mereka.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai proses kajian dan ramalan cuaca. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah tetapi juga untuk memberikan pendedahan langsung kepada mereka terhadap proses-proses sebenar yang berlaku dalam sistem iklim dan komuniti tempatan.
Seramai 60 orang pelajar kursus Kaji Iklim Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, pakar dalam bidang kajian iklim dan turut dibantu oleh empat orang fasilitator yang berpengalaman dalam membimbing kajian di lapangan. Dengan kepakaran yang dibawakan oleh pihak pengiring, pelajar berpeluang meneroka lebih mendalam hubungan yang kompleks antara sistem meteorologi dan aktiviti masyarakat setempat. Sepanjang lawatan, pelajar diberikan taklimat berkenaan peranan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam memantau dan meramal keadaan cuaca serta perubahan iklim. Mereka juga berpeluang melihat sendiri alat-alat yang digunakan dalam stesen meteorologi untuk pengumpulan data. Lawatan ini juga berjaya mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan, selaras dengan usaha memperkasakan pendidikan berasaskan amalan dunia sebenar.


Aktiviti dimulakan di Stesen Meteorologi Ipoh. Pelajar Kursus Kajian Iklim (HGF3073) turut berpeluang menghadiri sesi taklimat khas mengenai sistem amaran awal bencana di Malaysia yang disampaikan oleh salah seorang pegawai meteorologi berpengalaman. Sesi ini memberi fokus kepada peranan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam menyediakan sistem amaran awal yang penting untuk mengurangkan risiko bencana seperti ribut petir, banjir, dan gempa bumi. Pelajar juga diberikan penerangan mendalam tentang proses pemantauan cuaca, teknologi yang digunakan dan cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan ramalan yang tepat.
Sesi taklimat ini menjadi pengalaman yang berharga bagi pelajar, di mana mereka bukan sahaja memperoleh ilmu tambahan tetapi juga memahami kepentingan kolaborasi antara pihak kerajaan, komuniti, dan institusi pendidikan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan bencana alam. Seterusnya, mereka melawat tapak pencerapan manual yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan mencerap. Pengalaman ini memberikan gambaran praktikal tentang bagaimana data meteorologi dikumpul dan dianalisis secara manual.

Aktiviti seterusnya ke lokasi seterusnya iaitu Tg.Rambutan dan Fair Park. Pelajar ditugaskan untuk menjalankan tugas pencerapan dan soal selidik. Setiap lokasi dipilih dengan teliti untuk memaparkan kepelbagaian topografi, keadaan iklim serta kepelbagaian sosial yang berlaku di kawasan tersebut. Dengan bekerja dalam kumpulan kecil, pelajar diberi tanggungjawab mencerap keadaan fizikal dan sosial di stesen masing-masing. Dalam masa yang sama, mereka mengedarkan borang soal selidik kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai isu-isu persekitaran iaitu “Adaptasi Fenomena Monsun Timur Laut Terhadap Penduduk di Perak”. Data yang dikumpul ini penting untuk memahami bagaimana perubahan iklim memberi kesan kepada komuniti tempatan.


Interaksi dengan masyarakat setempat bukan sahaja memberikan pelajar pemahaman mendalam terhadap cabaran yang dihadapi oleh penduduk tetapi juga melatih mereka dalam meningkatkan kemahiran komunikasi. Pelajar belajar untuk menghargai perspektif komuniti dalam menyelesaikan isu persekitaran. Aktiviti ini turut memperlihatkan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap kumpulan diketuai oleh seorang ketua yang memastikan kelancaran aktiviti dan ahli yang memberikan kerjasama.
Kajian lapangan ini juga mendedahkan pelajar kepada penggunaan data geografi dalam penyelidikan yang lebih holistik. Melalui lawatan ini, mereka dilatih untuk menganalisis hubungan antara iklim dan pembangunan manusia. Aktiviti seperti ini menjadikan pelajar lebih bersedia untuk menyumbang kepada penyelidikan persekitaran yang bertujuan menangani isu-isu global seperti perubahan iklim, pemanasan global dan urbanisasi yang pesat. Kepentingan kajian lapangan seperti ini tidak dapat dinafikan kerana ianya memberi peluang kepada pelajar untuk keluar daripada batas bilik kuliah dan merasai dunia sebenar. Mereka juga belajar bagaimana untuk menyesuaikan teori akademik kepada keadaan praktikal, menjadikan mereka lebih kompeten sebagai graduan yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar.

Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar terhadap ilmu geografi dan meteorologi tetapi juga memupuk sikap tanggungjawab terhadap komuniti dan persekitaran. Dengan pengetahuan dan pengalaman berharga ini, pelajar kini lebih yakin untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan lestari pada masa depan. Kajian lapangan ini benar-benar menjadi platform untuk melahirkan generasi pelapis yang cakna akan persekitaran dan dinamik kehidupan manusia.
