Oleh: Larissa Amanda Anak Lenon

Tanjong Malim, 8 Januari 2025 – Kelab UPSI Global Buddies sesi 2024/2025 dengan sokongan Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan acara ‘Rabu Qalbu IMC with International Students: Uniting Global Buddies and International Students’ yang menghimpunkan lebih 100 pelajar antarabangsa di UPSI.

Menurut Timbalan Pengarah 1, IMC Dr. Nor Fadila Kasim yang juga Penasihat Kelab UPSI Global Buddies, program Rabu Qalbu bersama pelajar antarabangsa merupakan, program bulanan yang dianjurkan oleh IMC dan  penganjuran Rabu Qalbu Gathering ini merupakan penganjuran kali kedua yang diadakan bersempena dengan penghujung semester.

Pengarah program, Puteri Irdina Megat Ahmad menyatakan tujuan utama program ini adalah bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk bertemu rakan-rakan sebelum menghadapi peperiksaan akhir, sekali gus membantu mengurangkan tekanan yang mungkin dihadapi.

Program ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi IMC yang diketuai oleh Pengarah IMC, Profesor Dr. Ramlee Ismail serta warga pengurusan dan pentadbiran IMC yang lain.

Acara “Rabu Qalbu IMC with International Students: Uniting Global Buddies and International Students yang berlangsung dengan penuh keceriaan ini bukan sahaja menjadi platform untuk pelajar berinteraksi di antara satu sama lain, tetapi juga mewujudkan suasana harmoni semasa berbilang bangsa di UPSI sejajar dengan harapan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.

Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah sesi perkenalan diri, di mana peserta dapat berkongsi latar belakang dan pengalaman mereka. Selain itu, pelajar antarabangsa turut diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mereka, memberikan pandangan baharu mengenai budaya dari negara masing-masing. Aktiviti seperti permainan dalaman ‘Four Points’ dan ‘Snakes and Ladders’ pula dirancang untuk memupuk komunikasi yang lebih terbuka antara pelajar antarabangsa dan ahli kelab.

Permainan berkumpulan seperti ‘Guess the Song’ dan ‘Charades’ juga menonjolkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berfungsi sebagai medium untuk mempereratkan hubungan, memupuk kerjasama, dan meningkatkan pemahaman budaya antara peserta.

Pelajar antarabangsa yang hadir, rata-rata menyatakan rasa gembira dan berterima kasih atas penganjuran program ini. Mereka berharap agar lebih banyak program sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang.