Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 24 Januari 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melancarkan Kad Budi Bitara, satu inisiatif khas sempena Majlis Jasamu Dikenang UPSI 2024, sebagai tanda penghargaan kepada pesara universiti atas sumbangan dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata, pelancaran Kad Budi Bitara ini merupakan langkah proaktif universiti dalam menghargai jasa pesara yang telah menyumbang kepada pembangunan institusi.
“Kad ini adalah simbol penghormatan dan tanda penghargaan kami terhadap komitmen tinggi para pesara yang telah berkhidmat demi kecemerlangan universiti.

“Mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan UPSI dan kami berharap kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada mereka.
Jelas beliau, kad ini bakal menawarkan pelbagai kemudahan eksklusif termasuk akses kepada perkhidmatan perpustakaan , kemudahan sewaan fasiliti di UPSI dan Universiti Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) pada kadar kakitangan serta akses ke fasiliti di kedua-dua kampus UPSI seperti kolam renang, gelanggang bowling, gimnasium, dan pelbagai kemudahan lain.
“Kad Budi Bitara yang diberikan kepada semua pesara UPSI adalah pengiktirafan kepada dedikasi mereka dalam memperkasakan sektor pendidikan dan pembangunan universiti.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi pelancaran Kad Budi Bitara sempena Majlis Jasamu Dikenang 2024 bertempat di Muallim Ballroom, Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Menurut beliau, inisiatif ini juga menunjukkan komitmen universiti untuk terus membina hubungan yang erat dengan para pesara walaupun mereka tidak lagi bertugas secara aktif.
“Pesara adalah sebahagian daripada keluarga besar UPSI, dan kami mahu memastikan mereka sentiasa merasa dihargai dan diberi keistimewaan dalam menikmati kemudahan yang universiti tawarkan.
Tambah beliau lagi, Kad Budi Bitara ini bukan sekadar kemudahan fizikal tetapi juga simbolik kepada penghormatan universiti terhadap pengalaman dan kepakaran pesara.

“Kami berharap Kad Budi Bitara ini menjadi inspirasi kepada staf yang masih berkhidmat untuk terus memberikan yang terbaik kepada universiti. Komitmen dan integriti yang ditunjukkan oleh para pesara perlu dicontohi oleh generasi baru,” ujar beliau.
Sementara itu, Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman, berkata bahawa pihak UPSI juga turut menyediakan pelbagai inisiatif lain bagi menghargai jasa para pesaranya.
Menurut beliau, antara inisiatif yang diwujudkan adalah sumbangan kepada pesara seperti sumbangan ke hospital sebanyak RM100, sumbangan kematian sebanyak RM300, dan sumbangan penyakit kritikal sebanyak RM1,000.

“Inisiatif kedua adalah penyediaan ‘Wall of Fame’ yang sedang dalam proses untuk penyediaan spesifikasi dan draf reka bentuk akhir yang dijangka siap pada Mac tahun ini.
“Wall of Fame ini akan memaparkan ukiran nama-nama pesara di atas kayu yang akan kekal dipamerkan di sekeliling ruang legar Aras 1 bangunan Canselori.
Tambah beliau lagi, inisiatif ketiga ialah program khas bagi bakal-bakal pesara untuk menerima program pendedahan seawal dua tahun sebelum persaraan bagi mempersiapkan mereka menghadapi dunia persaraan.
“Pelbagai inisiatif yang diwujudkan oleh pihak UPSI bagi mencerminkan usaha kami untuk mengekalkan hubungan baik dengan bekas kakitangan, di samping menyokong keperluan mereka dalam menjalani kehidupan selepas persaraan,” kata beliau.
Majlis Jasamu Dikenang 2024 yang diadakan dengan penuh kemeriahan ini, dihadiri oleh lebih 100 pesara serta ahli keluarga mereka. Majlis ini turut diserikan dengan persembahan seni dan penyampaian anugerah serta cenderamata kepada pesara UPSI.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohamed; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril.
