Oleh : Aimin Irdina
Tanjong Malim, 29 Januari 2025 – Global Storyteller Arena (GloSA) merupakan salah satu program berkonsepkan pertandingan bercerita peringkat antarabangsa yang melibatkan kerjasama antara Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Universitas Islam Negeri (UIN) Mahmud Yunus Batu Sangkar, Indonesia.
Melalui kerjasama ini program GloSA dijalankan bagi mengeratkan interaksi antara dua negara jiran beserta meningkatkan lagi jaringan dalam pendidikan dengan lebih luas.

Pelaksanaan program GloSA ini merupakan julung kalinya dilaksanakan oleh persatuan DPAKK dengan universiti asia walaupun medium secara atas talian, tetapi banyak pengalaman, perkongsian dan nilai tambah yang diperolehi oleh mahasiswa/i dua universiti ini.
Objektif utama program GloSA ini adalah untuk menggilap bakat mahasiswa/i UPSI dan juga UIN dalam menyampaikan cerita melalui kreativiti sendiri.
Selain itu, dapat memupuk dan memberi peluang kepada mahasiswa/i dalam menyerlahkan bakat mereka sekaligus dapat meningkatkan kemahiran komunikasi.

Program GloSA yang mendapat penajaan bersama Hasani Bookstore ini telah dihadiri seramai 350 orang melibatkan mahasiswa/i UPSI dan UIN secara atas talian iaitu platform google meet.
Seramai 10 orang peserta iaitu daripada UPSI dan UIN telah disenarai pendek untuk ke sesi akhir bagi menjuarai pertandingan storyteller Arena ini.

ProgramGloSA telah dirasmikan dengan jayanya oleh Dr.H.Ridwal Trisoni S.Ag.M.Pd, Dekan Fakultas Tarbiyah dan Ilmu Keguruan, UIN Mahmud Yunus Batusangkar, Indonesia.
Melalui petikan ucapan perasmian beliau, program ini sangat memberikan hala tuju yang baik kepada dua universiti dalam meningkatkan jaringan dalam pendidikan, tambahan kedua-dua universiti asia ini menawarkan program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), pada masa sama memberi ruang kepada mahasiswa/i menimba pengalaman melalui program yang dianjurkan bersama ini.


Selain itu, turut dihadiri bersama oleh Dekan FPM UPSI, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM UPSI, Ketua Jabatan PAKK UPSI, Ketua Program Studi UIN Batusangkar, Indonesia, barisan pensyarah serta warga UPSI, Malaysia dan UIN, Indonesia.

Selaku pengarah program iaitu Aimin Irdina Junaidi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana program atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini bermula sebelum, semasa dan selepas program.
Tidak lupa juga penasihat persatuan iaitu Puan Norrulkamari Daud yang banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar dalam aspek merancang, mengurus, mengelola dan menjayakan program ini, tambahan program GloSA adalah peringkat antarabangsa yang memerlukan perancangan yang lebih rapi dari pelbagai aspek pengelolaan program.

Program ini berjaya mencapai objektif yang dimatlamatkan iaitu menyerlahkan kreativiti mahasiswa/i dalam menonjolkan pelbagai teknik bercerita selain dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, menjaga eye contact, kepelbagaian intonasi dan nada suara yang baik semasa sesi bercerita.
Tambahan, program GloSA ini juga dapat memperkukuhkan persefahaman dan hubungan antarabangsa melalui latar belakang dua negara asia.
Hal ini dapat membuktikan bahawa UPSI mempunyai hubungan yang baik antara negara jiran dan dapat bekerjasama dalam melaksanakan program.
GloSA bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan antara negara serantau malah dapat melahirkan mahasiswa/i yang mempunyai keberanian dan berbakat dalam pelbagai bidang.

Program berakhir dengan sesi fotografi selepas sesi pengumuman pemenang pertandingan bagi Global Storyteller Arena iaitu Johan dimenangi oleh peserta dari Universitas Islam Mahmud Yunus Batu Sangkar Indonesia iaitu saudari Halimatul Saqdiyah, manakala Naib Johan oleh peserta juga dari Universitas Islam Mahmud Yunus Batu Sangkar Indonesia iaitu saudari Arsyizahma Wita dan tempat ketiga peserta dari Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu saudara Muhammad Mukhlis Wafi Mohd Lazim.
Semua pemenang menerima wang tunai dan juga sijil penghargaan atas kemenangan yang diraih.



Tahniah diucapkan kepada semua yang bersama-sama menjayakan program GloSA ini. Semoga dengan peluang dan ruang, kolaborasi sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam mencapai kecemerlangan universiti bersama.