Oleh: Arissa Hasya Auni

Tanjong Malim, 5 Februari 2025 – Seramai 18 orang kakitangan Pejabat Karang Mengarang (PKM) terlibat dalam sesi gotong royong bagi menjayakan Kempen Bebas Denggi seperti yang dihasratkan universiti.

Aktiviti ini berlangsung di luar dan dalam premis PKM dengan tugasan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan tempat bertakung.

Menurut Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah, program ini merupakan acara tahunan PKM yang diadakan bermula tahun lepas, Ia juga sebagai memenuhi ketetapan gotong royong oleh pihak ROSH UPSI.

“Kami anjurkan secara konsisten pada tahun lepas iaitu pada bulan Februari dan Ogos 2024. Aktiviti ini memberi manfaat yang sangat besar kepada kakitangan dan juga persekitaran UPSI” kata Dr Nordiana ketika memberi ucapan aluan.

Program ini berjaya mengumpulkan staf PKM bagi sama-sama menjayakan hasrat Universiti agar kampus bebas daripada tempat pembiakan nyamuk. Staf telah bersama-sama mengenalpasti tempat pembiakan nyamuk selain membersihkan kawasan di luar dan dalam pejabat PKM.

Aktiviti ini memberi kesedaran kepada staf untuk sama-sama menjaga kebersihan dan sentiasa peka dengan alam sekeliling ketika di kampus. Kesedaran ini dipanjangkan juga apabila berada di rumah masing-masing.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, kerja-kerja pembersihan di dalam premis PKM sama penting kerana ada kemungkinan terdapatnya tempat bertakung di dalam bilik air atau pun di tempat-tempat tersembunyi. “Staf PKM kelihatan teruja menjalankan kerja-kerja mengenalpasti tempat air bertakung khasnya di bilik air dan juga di pantry PKM” kata Ahmad ketika mengakhiri perbualan.