Staf PKM bergambar berkumpulan

Oleh: Aisy Hanini Tihani

PERAI, 24 Januari 2025– Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Mesyuarat & Bengkel KPI dan Semakan & Pemantapan Dasar/Garis Panduan yang diadakan pada 22 hingga 24 Januari di Hotel Ixora, Perai, Pulau Pinang melibatkan 23 orang kakitangan PKM.

Menurut Pengarah PKM, Profesor Madya Dr. Nordiana Hamzah bengkel ini bertujuan untuk merancang aktiviti dan program PKM Tahun 2025 selain merancang strategi untuk memenuhi KPI yang ditetapkan oleh universiti.

Dr Nordiana berkata, PKM segera menyambut Aspirasi Universiti yang dibentangkan pada sebelah pagi, 22 Januari 2025 dengan membincangkan strategi pelataan kepada kakitangan. PKM turut membincangkan strategi pelataan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi.

“Seperti yang dibentangkan dalam Aspirasi Universiti, PKM bakal menerbitkan empat buah buku berimpak tinggi seperti biografi Tuanku Zara Salim, buku Tokoh Wanita Malaysia, buku Modul STEM dan buku sisipan kepada tulisan DYMM Sultan Perak (Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration),” kata Dr Nordiana.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Kanan PKM, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata bengkel ini menghasilkan Strategi KPI 2025 berserta Aktiviti Program dan Draf Semakan dan Pemantapan Garis Panduan dan juga maklumat pelataan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi dan Aspirasi Universiti.

Timbalan Pengarah (Penarafan dan Antarabangsa), Dr Laili Farhana berkata PKM merancang strategi memperkasakan Jurnal UPSI ke arah menambah jurnal pengindeksan Scopus dan MyCite. Seksyen Jurnal juga akan menganjurkan Kursus Pengurusan Jurnal Mycite melibatkan pelbagai jemputan seluruh negara bertempat di UPSI dalam usaha menjana pendapatan.

“PKM juga sedang menambahbaik dasar/garis panduan jurnal termasuk cadangan memberi insentif kepada Ketua Editor Jurnal berindeks Scopus dalam usaha memberi motivasi kepada mereka yang teribat dalam pengurusan jurnal,” kata Dr Laili.

Staf PKM bergambar selepas tamat bengkel

Perbincangan semakan dan pemantapan dasar/garis panduan PKM banyak melibatkan perkara seperti pemantapan royalti, semakan penentuan harga buku, semakan kadar diskaun dan juga pengurusan kenderaan. Perbincangan turut melibatkan penetapan aktiviti Rabu@Qalbu PKM Tahun 2025.

Sepanjang bengkel berlangsung, empat orang pembentang yang terlibat mewakili seksyen di bawah PKM iaitu Ketua Seksyen Penerbitan Buku, Azlan Mohd Dahari, Ketua Seksyen Pemasaran dan Jualan, Sofiatul Nazira Ahmad Shubki dan  Dr Laili Farhana Ibharim serta Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain yang mewakili Seksyen Penerbitan Jurnal dan Seksyen Pentadbiran dan Kewangan. Sesi bengkel berakhir dengan pembentangan Takwim PKM 2025 oleh Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain.