Oleh: Nur Fatin Najwa Muhamad Nur Efendi
Tanjong Malim, 06 Mac 2025- Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengadakan satu program iaitu Bengkel Teori Siri 1: Pemusatan Insan (PCC) dengan Kerjasama Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International) dan Young Counseling Scholars (YCS). Bengkel ini diadakan secara atas talian melalui platform Google Meet dan live streaming di YouTube KASIH UPSI dihadiri hampir 400 orang peserta yang terdiri dalam kalangan pelajar, guru, pegawai dan kaunselor bukan sahaja dari IPTA, IPTS dan IPG di Malaysia malah turut disertai dari Indonesia iaitu Universitas Negeri Surabaya.

Bengkel ini merupakan satu inisiatif yang dianjurkan oleh KASIH bagi meningkatkan pemahaman teori dalam kalangan pelajar bidang kaunseling sekaligus merupakan bengkel teori pertama yang dilaksanakan secara bersiri. Bukan itu sahaja, program ini juga menjadi satu platform bagi menggalakkan sumbangan ikhlas dalam kalangan orang awam untuk bantuan iftar pelajar di Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS) di mana PPKKS menempatkan pelajar lelaki berusia lingkungan 13 hingga 18 tahun yang telah melalui pelbagai cabaran hidup. Bengkel PCC merupakan bengkel teori bersiri yang pertama sekaligus menjadi satu penanda aras bagi melaksanakan bengkel-bengkel teori yang seterusnya.
KASIH akan meneruskan inisiatif ini dengan pelaksanaan bengkel teori yang lain pada masa akan datang dengan meneruskan konsep amal kebajikan di mana ianya akan disalurkan kepada pihak yang berkeperluan.
Program ini bertujuan bagi meningkatkan pemahaman pelajar kaunseling tentang teori di samping sebagai persediaan buat bakal-bakal kaunselor dalam menghadapi realiti profesion kaunseling.
Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan berkata dalam ucapan perasmiannya, “Saya percaya bahawa bengkel ini akan memberi sentuhan magis kepada semua peserta, bukan sahaja daripada aspek akademik malahan juga dalam pembentukan kemahiran profesional serta keperibadian sebagai seorang kaunselor
yang lebih pakar dan handal dalam bidang tugasnya. Semoga sesi ini menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi pemahaman teori kaunseling dan evolusi berikutnya dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kaunseling yang akan diberikan pada masa hadapan.”
“Saya berharap para peserta bukan sahaja dapat memperolehi kefahaman yang mendalam berkaitan dengan teori ini, malahan juga dapat mengaplikasikannya dalam sesi kaunseling yang sebenar. Jangan hanya sekadar mendengar tetapi hayatilah setiap ilmu yang dikongsikan dan praktikkan dalam perjalanan anda sebagai seorang kaunselor,” tambahnya lagi.

Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) merangkap Pensyarah di Jabatan Bimbingan dan
Kaunseling, Dr. Pau Kee dalam ucapannya menyatakan, “Teori antara kursus yang sangat penting bagi pelajar kaunseling. Peserta bukan Sahaja mempelajari Teori Pemusatan Insan semata-mata, tetapi jika dikaitkan Pemusatan Insan dengan sifat semula jadi manusia, ianya sangat berkait rapat dan sesuai dengan tema sempena Bulan Ramadhan ini. Hal ini demikian kerana, di dalam teori ini, kita sangat mementingkan pemahaman dalam terhadap individu dan orang lain yang membentuk pertumbuhan
psikologi sihat dan seimbang. Teori Pemusatan Insan merupakan asas kepada teori-teori lain dan keutamaannya sangat penting untuk individu merasai diri dan memahami kesusahan orang lain,” katanya.
“Saya percaya slot ini akan memberi manfaat yang praktikal kepada kehidupan harian kita bukan sahaja untuk kaunselor tetapi untuk diri kita sendiri. Saya berharap peserta semua dapat menghayati teori PCC ini dan terapkan dalam kehidupan kita,”tambahnya lagi.