Oleh: Norrulkamari Daud dan Najib Elmi

TANJONG MALIM, 22 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan tradisi memperingati Nuzul al-Quran dengan penganjuran Program Ruhul Quran: Tadabbur Surah Pilihan sempena Karnival Ramadan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) 2025.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2024/2025 itu diadakan secara dalam talian dan menampilkan penceramah motivasi Islamik, En. Ahmad Firdaus Saifullah, atau lebih dikenali sebagai Pirdot, yang juga merupakan alumni UPSI dalam bidang Tahfiz Qiraat, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FPM, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, ketika merasmikan program itu berkata, inisiatif seperti ini diharap dapat membantu mahasiswa dan warga UPSI mendalami serta menghayati ajaran Al-Quran dengan lebih baik.

“Penghayatan Al-Quran bukan hanya dengan membacanya, tetapi juga memahami maksud dan mesej yang terkandung dalam setiap ayat. Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami surah pilihan dan mempraktikkan ajaran yang diperoleh dalam kehidupan seharian,” katanya.

Program ini memberi penekanan kepada konsep tadabbur, iaitu menghayati, merenung dan memahami ayat-ayat suci Al-Quran secara mendalam.

Surah Al-Mulk, yang mengandungi 30 ayat, menjadi surah pilihan dalam program ini kerana kelebihan dan manfaatnya, termasuk memberi syafaat kepada pengamalnya, melindungi daripada azab kubur serta memperkukuh hubungan spiritual dengan Allah SWT.

Menurut Pirdot, Surah Al-Mulk bukan sekadar bacaan rutin tetapi turut mengandungi mesej penting berkaitan hubungan manusia dengan Allah serta kewujudan alam ghaib yang tidak terlihat oleh pancaindera.

Program yang dihadiri hampir 160 peserta itu turut disertakan dengan sesi soal jawab interaktif yang membolehkan peserta mendapatkan pencerahan lanjut mengenai tafsir ayat-ayat suci Al-Quran.

Pirdot yang terkenal di media sosial dengan penyampaian bersahaja dan mudah difahami berjaya menarik perhatian peserta dengan penjelasan yang jelas dan mendalam mengenai tadabbur Al-Quran.

Program itu diakhiri dengan sesi penggulungan dan fotografi sebagai kenangan, dengan harapan agar mahasiswa terus mengamalkan pembacaan dan penghayatan Al-Quran bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi juga sepanjang hayat.