oleh: Dr Harnani Mat Zin

Putrajaya, 10 April 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di ibu pejabat UNICEF Malaysia, Putrajaya.

Pertemuan dan perbincangan yang telah berlangsung lebih 2 jam ini telah membincangkan pelbagai perkara khususnya berkaitan perkembangan kanak-kanak di Malaysia.

Sesi ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam usaha memperkasa pembangunan awal kanak-kanak di Malaysia.

Antara tumpuan utama perbincangan ialah pelaksanaan inisiatif yang menyokong kesejahteraan kanak-kanak, termasuk isu pemakanan, pendidikan awal, kesihatan mental dan perlindungan sosial.

Delegasi NCDRC yang diketuai oleh Pengarah NCDRC, Profesor Madya Dr. Mazlina Che Mustafa telah berkongsi beberapa hasil penyelidikan dan program yang telah dilaksanakan oleh NCDRC serta cadangan kolaboratif yang boleh dimanfaatkan bersama pihak UNICEF.

Sesi penyampaian cenderamata oleh pihak NCDRC kepada pihak UNICEF
Sesi penyampaian cenderamata

Turut hadir, wakil-wakil kanan dari UNICEF Malaysia yang menyatakan komitmen mereka dalam menyokong usaha ke arah pembangunan polisi berasaskan bukti melalui penyelidikan yang telah dijalankan oleh NCDRC demi kepentingan kanak-kanak.

Menurut Pegawai di bawah Unit Social Behavior Change (SBC) di UNICEF, Encik Terry Saw, sesi ini menjadi landasan penting dalam menjajarkan strategi nasional dengan agenda global demi memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia dapat membesar dalam persekitaran yang sihat, selamat dan menyokong perkembangan menyeluruh.

Beliau turut menjelaskan bahawa UNICEF Malaysia telah bekerjasama dengan dengan pelbagai agensi kerajaan serta swasta di negara ini.

Sesi perbincangan
Sesi perbincangan

“Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Malaysia untuk meningkatkan kehidupan anak-anaknya sambil membangunkan negara, dan mencapai Agenda 2030 mengenai Matlamat Pembangunan Mampan” ujarnya.

Maka, kerjasama antara NCDRC dan UNICEF ini dijangka akan membuka lebih banyak ruang kepada penyelidikan, program intervensi dan advokasi dasar yang memberi kesan langsung kepada komuniti kanak-kanak di seluruh negara.

Sesi perbincangan pada hari ini turut membuka ruang kepada sesi perbincangan yang lebih lanjut pada masa akan datang mengenai projek dan kajian yang boleh dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak.