Oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 22 April 2025 – Pejabat Karang Mengarang (PKM) menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada hari ini bertempat di Pejabat PKM.
Antara pengisian menarik sempena majlis ini ialah Pertandingan Busana Terpaling Raya yang menobatkan pakaian dan penampilan paling menyerlah. 5 orang terpilih memenangi anugerah ini yang disampaikan oleh Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah.
Mereka ialah Nur Farhan Mohd Yusoff, Khalid Chew Edey Ridzuan Chew, Sajarutul Nur Kasim, Mohd Shahrizal Mohamad Ridzuan dan pelajar Latihan Industri, Amiratul Najihah Azahari.



Menurut Timbalan Pendaftar Kanan PKM, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, Anugerah Busana merupakan anugerah tetap diadakan setiap kali majlis hari raya dan juga retreat PKM.
“Penyampaian 5 anugerah ini bagi menghargai komitmen staf yang melabur wang untuk kelihatan segak dan cantik sempena Hari Raya” kata Ahmad.


PKM turut mengetengahkan bakat nyanyian staf dengan slot “Karok Raya”. Ini merupakan tahun kedua sesi ini dibuat dengan sambutan hangat daripada staf dan tetamu.
Lagu-lagu baharu seperti “Serumpun”, “Meriah Lain Macam”, “Nyam Nyam Ketupat”, “Raya Ya Ya” dan lagu-lagu lama berkumandang di perkarangan luar Pejabat PKM.
Terdahulu, PKM mengadakan Majlis Tahlil pada jam 9 pagi di Bilik Mesyuarat, PKM. Majlis ini dipimpin oleh Muhammad Shahrul Mizan Mohamed dan dihadiir oleh kakitangan PKM.
Menurut Dr Nordiana, Majlis Tahlil ini dianjurkan bagi meraih keberkatan dan rahmat dari Allah S.W.T sempena bulan Syawal selain menyatakan rasa syukur di atas pencapaian PKM.



“Antara tetamu yang hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar. PKM turut menjemput mantan staf PKM yang pernah berkhidmat di pejabat ini satu ketika dahulu” kata Dr Nordiana.
Majlis yang berlangsung sehingga jam 3.30 petang ini menampilkan menu menarik seperti sate, nasi himpit, laksa, mi kari, nasi berlauk kari, sambal, salad selain lemang, rendang dan kuih raya.
