Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM, 28 April – Pendidikan rekreasi luar perlu diangkat sebagai pendekatan holistik dalam membentuk individu berdaya tahan, bertanggungjawab dan seimbang sejajar dengan keperluan pembangunan insan masa kini.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh, dalam era penggunaan teknologi digital yang meluas, aktiviti rekreasi luar semakin penting bagi membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental, selain memperkukuh hubungan sosial dan keseimbangan emosi.

“Rekreasi luar bukan sekadar aktiviti riadah, ia adalah satu gaya hidup yang mendekatkan kita dengan alam semula jadi, membina daya tahan, memupuk kerjasama berpasukan serta menguatkan jasmani dan rohani.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh ketika berucap merasmikan Majlis Persidangan Rekreasi Luar dan Pendidikan Malaysia (MOREC) 2025 di UPSI Adventure Park, Kampsu Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
 
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh (tiga dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Rekreasi Luar dan Pendidikan Malaysia (MOREC) 2025 sambil disaksikan oleh Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman (dua dari kiri) serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Mohd Syaiful turut memaklumkan bahawa bidang rekreasi luar di Malaysia berkembang pesat sebagai sebahagian usaha memajukan budaya dan pelancongan negara, melalui pelbagai aktiviti yang direka untuk semua lapisan masyarakat.

“Kerajaan memberi sokongan penuh kepada pembangunan rekreasi luar, antaranya melalui pelancaran program Edu+ oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menggabungkan elemen pendidikan dengan pengalaman pelancongan, penerokaan budaya, ekopelancongan dan aktiviti sukan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Persidangan Rekreasi Luar dan Pendidikan Malaysia (MOREC) 2025 yang berlangsung di UPSI Adventure Park, Kampsu Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada UPSI atas komitmen berterusan memperkasa pendidikan rekreasi luar menerusi penubuhan Akademi Kepimpinan Pengembaraan dan Rekreasi Luar (AURORA) yang dikendalikan oleh Pusat Kokurikulum universiti tersebut.

Mengulas perkembangan di Negeri Perak, Mohd Syaiful berkata pelbagai program rekreasi luar dan pendidikan seperti Outward Bound Malaysia di Lumut, Hutan Simpan Royal Belum di Gerik serta aktiviti lasak di Gopeng seperti whitewater rafting dan Nomad Adventure telah menjadi tarikan utama yang memperkukuh ekosistem pelancongan dan pendidikan negeri ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan harapan agar Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dapat bekerjasama dengan UPSI dalam memperkenalkan lebih banyak inisiatif berkaitan rekreasi luar, sekali gus menjadikan Perak sebagai hab pendidikan rekreasi luar di Malaysia.

“Setiap daripada kita membawa latar belakang dan pengalaman berbeza dalam bidang ini. Maka, persidangan seperti MOREC 2025 menjadi platform penting untuk bertukar pandangan, memperkukuh jaringan kerjasama dan meneroka peluang baharu dalam bidang rekreasi luar dan pendidikan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata, MOREC 2025 bertemakan ‘Eco-Minds: Shaping Tomorrow’s Leaders Through Outdoor Learning’, bertujuan menonjolkan nilai rekreasi luar bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, malah sebagai alat untuk pendidikan, pemuliharaan dan pembangunan komuniti.

“Persidangan ini menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang termasuk penyelidik, pendidik, profesional industri dan pengamal rekreasi luar untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan idea dalam membentuk masa depan bidang yang menarik ini.

Beliau turut menekankan bahawa aktiviti rekreasi luar kini berkembang daripada sekadar aktiviti riadah kepada platform pendidikan holistik yang memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Dalam dunia serba pantas dan berteknologi tinggi hari ini, mendekatkan diri dengan alam semula jadi melalui aktiviti luar menawarkan nilai besar dari segi fizikal, mental, emosi dan sosial.

“Ia membangunkan kemahiran hidup penting seperti kerja berpasukan, daya tahan, ketabahan, keyakinan diri serta meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi,” katanya.

Pengarah, Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim (empat dari kiri) menyampaikan buku bertajuk ‘Kepimpinan Berkesan dalam Pemprograman Aktiviti Luar’ kepada Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh dalam majlis Persidangan Rekreasi Luar dan Pendidikan Malaysia (MOREC) 2025 di UPSI Adventure Park, Kampsu Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi UPSI serta peserta program Persidangan Rekreasi Luar dan Pendidikan Malaysia (MOREC) 2025 di UPSI Adventure Park, Kampsu Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

MOREC 2025 merupakan sebuah platform persidangan dalam bidang rekreasi luar dan pendidikan yang dianjurkan oleh AURORA, Pusat Kokurikulum, UPSI dengan kerjasama dan tajaan utama daripada Rekreasi Sisiran Floria dan Izz Zie Solution serta tajaan sokongan daripada Jenoba Outdoor, UPSI Holding, Ambang Kemas dan Taipan Ventures.

Hadir sama Pengarah, Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril; Pengarah, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) UPSI, Encik Saiduri Dolah; Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria