Oleh: DR VESTLY KONG LIANG SOON & SITI NUR ATHIRAH BINTI MOHAMED ARJUNA

Tanjong Malim, 26 Mac 2025 (Rabu), satu program yang penuh keberkatan telah
berlangsung secara dalam talian, bertajuk Cahaya Ramadan: Bulan Cahaya, Bulan Pengislahan
Diri. Program ini dianjurkan oleh Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Persatuan
Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK), dan dilaksanakan untuk memenuhi Karnival
Ramadan Fakulti Pembangunan Manusia. Ia dibuka kepada seluruh Mahasiswa/i Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan orang ramai untuk mengisi ruang bulan Ramadhan mereka
dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah tanpa had lokasi atau masa.
Program ini menggunakan dua platform utama, iaitu GoogleMeet dan Facebook Live bagi
membolehkan peserta untuk menyertai dari mana-mana platform tersebut. Matlamat utama
program ini adalah untuk menggalakkan pelajar serta masyarakat menggunakan kemudahan
teknologi secara positif, bagi memperbaiki diri dan memperbaharui amalan ibadah mereka
sepanjang bulan yang penuh dengan keberkatan ini.


Majlis yang penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Dr.
Kway Eng Hock, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan serta harapan agar program
sebegini terus menjadi platform pengukuhan sahsiah mahasiswa. Perasmian oleh Dr. Kway telah
membuka tirai program dengan suntikan semangat dan motivasi kepada semua peserta.
Kehadiran beliau menyerikan lagi majlis dan menunjukkan sokongan penuh pihak fakulti
terhadap penganjuran aktiviti berunsur kegamaan dan pembangunan diri.
Penceramah jemputan, Ustazah Ummikalsum binti Mat Lazim telah berkongsi ilmu yang amat
bermakna dengan para peserta melalui ceramah yang mengupas tentang penghayatan Ramadan
serta amalan-amalan yang dapat memperkaya rohani dan mendekatkan diri kepada Allah. Sesi
ceramah diikuti dengan sesi soal jawab yang membolehkan peserta berinteraksi secara langsung,
bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai topik yang dibincangkan.
Program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dengan lebih 274 orang
peserta mendaftar melalui Google Form, melebihi anggaran awal 200 orang peserta. Kejayaan
ini menunjukkan semakin ramai warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan
masyarakat luar yang ingin memperkaya pengamalan ibadah mereka pada bulan Ramadan.
Selain itu, penggunaan platform digital juga memberi kemudahan kepada lebih ramai individu
untuk turut serta dalam program ini tanpa batasan geografi.