Oleh : Nabila Mohd Zaki

Songkla, Thailand, 7 Mei 2025 — Seramai 32 orang pelajar berusia antara 9 hingga 12 tahun dari Tadika Nuruddin telah terlibat dalam program komuniti anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dinamakan Program Global Learning, Outreach and Welfare for Community.

Program ini dijalankan sebagai inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) bagi memberi pendedahan pembelajaran kepada pelajar tadika yang berada di kawasan luar bandar serta menyemai nilai sosial dan tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa pelajar.

Sesi permainan pembelajaran bersama pelajar Tadika Nuruddin.
Sesi lawatan Tadika Nuruddin, Songkla.

Melalui program ini, deligasi KHAR diberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu akademik mereka secara praktikal dengan menyampaikan pengetahuan terutamanya dalam Bahasa Inggeris kepada komuniti melalui pendekatan pedagogi inovatif yang menarik.

Aktiviti-aktiviti dijalankan secara santai dan menyeronokkan, bersesuaian dengan umur serta tahap perkembangan kanak-kanak yang terlibat. Pendekatan ini menggalakkan interaksi dua hala yang positif antara pelajar universiti dan komuniti.

Program ini turut memberi penekanan terhadap peningkatan kemahiran insaniah di kalangan deligasi KHAR, termasuklah komunikasi, kerja berpasukan serta empati terhadap masyarakat sekeliling.

Dengan berdepan sendiri cabaran dan keperluan pendidikan di peringkat akar umbi, MMKHAR berpeluang melihat sendiri situasi dunia sebenar dan menyesuaikan kaedah penyampaian ilmu dengan konteks setempat.

Kedatangan deligasi KHAR ke Pondok Bukit Torang di sambut oleh pemilik pondok itu sendiri iaitu Hj Abdullah bin Hj Ismail yang mesra di panggil Poksulah.

Beliau juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Imam Daerah Sebaya dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam wilayah Songkla.

Ucapan pengarah program
Ucapan pengasas pondok

Menurut saudara pengarah program Muhammad Zulhimi Mohd Desa inisiatif ini bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi platform latihan.

Keseluruhannya, penganjuran program ini membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam program berbentuk kemasyarakatan bukan sahaja memperkayakan pengalaman mereka, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosial dan pendidikan komuniti.

Sesi penyerahan sumbangan daripada KHAR kepada Tadika Nuruddin Bukit Torang, Songkla.

Inisiatif seperti ini diharapkan dapat diperluaskan ke kawasan lain bagi menyebarkan manfaat pendidikan kepada lebih ramai golongan masyarakat terutamanya kawasan luar bandar..