Oleh : Afrina Wafa Abdul Wahhib
Prince of Songkla University, Thailand, 8 Mei 2025 – Satu program berimpak tinggi bertemakan pendidikan telah berjaya dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Prince of Songkla University (PSU), Thailand.
Program bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Cik Thammasart Sotthibandhu iaitu Timbalan Pengarah Institut Kajian Keamanan PSU.
Objektif utama program ini adalah untuk melahirkan mahasiswa yang beradaptasi global dan mampu merancang pelaksanaan kerja di peringkat antarabangsa. Ia juga menjadi landasan bagi membina kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand dalam usaha memperkukuhkan pembangunan sahsiah mahasiswa melalui aktiviti rentas budaya dan akademik.



Delegasi Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) didedahkan dengan latar belakang kedua-dua universiti serta peranan majlis pelajar masing-masing. Dialog ini bertujuan memperkenalkan budaya organisasi dan kepimpinan mahasiswa dalam konteks negara masing-masing.
Lebih menarik lagi, diskusi ini turut memberi pendedahan langsung kepada delegasi UPSI terhadap perbezaan budaya dan sistem pembelajaran di luar negara. Turut dikongsikan oleh pengarah program saudara Muhammad Irfan Aiman tentang sistem pendidikan, norma dan cabaran sebagai seorang pelajar dan bakal pendidik di Malaysia.



Sesi dialog ini bukan sahaja meningkatkan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar, malah menjadi pemangkin kepada usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara menyeluruh. Pertukaran idea dan pandangan yang matang antara mahasiswa kedua-dua negara menjadikan sesi ini lebih bermakna dan berkesan.
Program diakhiri dengan sesi bergambar di Monumen Prince Mahidol sebagai simbolik jalinan hubungan dua hala antara UPSI dan PSU.
