Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun

Tanjong Malim, 19 April 2025Program Counselor on Wheels: Santuni Komuniti Siri 2 kembali lagi dengan menyantuni pengunjung di Pasar Malam Tanjong Malim, Perak. Program yang berlangsung dari jam 5.00 petang hingga 9.00 malam ini telah menarik perhatian ramai terutamanya komuniti dan peniaga setempat yang hadir di sekitar kawasan pasar malam.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Kaunseling UPSI dan Majlis Daerah Tanjong Malim, dengan kerjasama Bahagian Pengangkutan UPSI dan Persatuan Psychological First Aid (PFA). Turut hadir Dr. Pau Kee dan  Ahmad Shazwi Ahmad Shukri sebagai Penasihat PFA Team UPSI dan pegawai Pusat Kaunseling yang memainkan peranan penting dalam menyantuni komuniti dan memberi penerangan berkaitan kesihatan mental.

Objektif program ini adalah memperkenalkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Bas Pendidikan UPSI sebagai medium pendidikan bergerak yang unik. Tema yang dibawa berkaitan “Mental Health” bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental dalam kalangan komuniti Pasar Malam Tanjong Malim.

Penerangan oleh Team PFA tentang Pameran Kesihatan Mental di dalam Bas Pendidikan UPSI

Antara sorotan menarik sepanjang program termasuklah pameran berkaitan kesihatan mental di dalam Bas Pendidikan UPSI yang ternyata mencuri tumpuan ramai. Pengunjung meluahkan rasa teruja kerana tidak menyangka bas tersebut mengandungi pelbagai bahan pameran yang informatif dan menarik, termasuk alat terapi dan maklumat saringan kesihatan mental. Kelab PFA UPSI sebagai sukarelawan telah menjalankan sesi saringan kesihatan mental secara interaktif kepada komuniti, di mana pengunjung diberikan pendedahan tahap kesihatan mental mereka secara santai dan mudah difahami berdasarkan ujian saringan yang telah mereka lakukan.

Team PFA Membuat Energizer Bersama Komuniti berdekatan Pameran Bas Pendidikan UPSI

Anggaran penyertaan adalah seramai 100 orang, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di Tanjong Malim termasuk mahasiswa UPSI. Sambutan hangat ini mencerminkan keperluan dan minat komuniti terhadap inisiatif pendidikan kesihatan mental secara bersemuka dan mesra komuniti. Dengan kejayaan penganjuran siri kedua ini, UPSI dan rakan kolaboratif menjangkakan penyertaan akan terus meningkat pada siri-siri berikutnya melalui penambahbaikan dari segi kandungan, aktiviti dan penglibatan komuniti.