UPSI – Padang terbuka Sport Space bergema dengan sorakan semangat apabila gabungan persatuan di bawah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) menganjurkan acara sukan mega, Metavengers – The Ultimate League, yang mempertemukan kekuatan fizikal dan mental lebih 300 warganya dalam satu arena penuh keterujaan dan kesatuan.

Program yang berlangsung pada hari Sabtu, 17 Mei 2025 itu diadakan secara fizikal sepenuhnya di kawasan Sport Space (Outdoor), Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Acara dimulakan seawal jam 7:30 pagi dan berakhir sekitar jam 5:00 petang, memberi ruang kepada pelajar menikmati hari yang sarat dengan cabaran, keseronokan dan semangat kesukanan.

Sepanjang program ini, peserta menyertai pelbagai acara sukan yang menguji ketangkasan dan strategi pasukan, antaranya pertandingan bola tampar bagi kategori lelaki dan perempuan, futsal untuk peserta lelaki, bola jaring khusus buat pelajar perempuan, serta dodgeball campuran yang menceriakan suasana dengan keterlibatan semua mahasiswa yang hadir.

Menurut Muhammad Firas Darwisy bin Mazlan (ISMP Multimedia, Semester 6), Pengarah Program, “Kami mahu mencipta pengalaman yang bukan sekadar tentang menang atau kalah, tetapi tentang mencipta kenangan, membina hubungan, dan mencabar kemampuan diri. Alhamdulillah, semua peserta memberi komitmen luar biasa. Terima kasih kepada semua AJK yang bekerja keras sejak awal!”

Majlis penutup program disempurnakan oleh YBrs. Dr. Ahmad Wiraputra bin Selamat, Pensyarah Kanan FKMT yang mewakili pihak pengurusan tertinggi fakulti. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kecekapan pelajar dalam merancang dan mengendalikan program sebesar ini, serta menekankan betapa pentingnya keseimbangan antara akademik dan pembangunan sahsiah.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC, HEPA), UPSI atas kelulusan peruntukan bajet sebanyak RM2013.00 yang memungkinkan segala kelengkapan dan logistik dilaksanakan dengan lancar.

Bagi Nurul Arina binti Mahdi (ISMP Multimedia, Semester 6), peserta acara bola jaring, pengalaman menyertai Metavengers The Ultimate League sangat berharga.

“Walaupun penat, saya rasa puas sangat. Kami betul-betul rapat sebagai satu pasukan. Aktiviti macam ni sangat penting sebab ia jadikan kita rasa dihargai sebagai komuniti dalam fakulti.”

Manakala Muhammad Danish bin Ahmad Afandi (ISMP Teknologi Maklumat, Semester 2), pemain bola tampar lelaki, menyifatkan program ini bakal menjadi salah satu kenangan terbaik sepanjang berada di UPSI.

“Bila berada di tengah gelanggang, semangat tu datang sendiri. Saya bangga dapat menyertai program ini dan akan ingat sampai bila-bila.”

Metavengers – The Ultimate League bukan sahaja menjadi manifestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3 dan SDG 4), malah telah mengukuhkan budaya sihat, kerja berpasukan dan kepimpinan pelajar melalui pengalaman praktikal yang bermakna.

Dari META, untuk META – ini bukan sekadar sukan. Ini satu legasi!

“Program ini memperlihatkan potensi luar biasa pelajar kita. Ia bukan sahaja menyatukan semua lapisan mahasiswa/i FKMT, malah menjadi cerminan kepada pendidikan seimbang – antara intelek, fizikal dan emosi,” ujar beliau.