Oleh : Fauzi Basri

Tanjong Malim, 22 Mei 2025 – Program Gegar Siswa: Know Yourself telah berlangsung dengan jayanya yang bertempat di Bilik Seminar, Perpustakaan Tuanku Bainun, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini dianjurkan oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dengan kerjasama strategik Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK).

Program ini menyasarkan terhad kepada penyertaan daripada  mahasiswa dan mahasiswi UPSI. Penganjurannya bertujuan memperkasa pemahaman mahasiswa terhadap kepentingan kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan kehendak semasa pasaran kerja.

Pendekatan ini diambil bagi menyokong pembangunan graduan berkemahiran tinggi yang mampu bersaing dalam era pekerjaan yang semakin mencabar dan dinamik.

Antara pengisian utama program ialah penyampaian ceramah oleh tetamu kehormat, Encik Norazam Mat Isa, yang merupakan alumni UPSI dan bekas Pegawai Pendidikan Daerah (PPD).

Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan integriti dan etika dalam kerjaya serta peranan bakal pendidik sebagai agen perubahan dalam masyarakat.

Program turut diserikan dengan pelbagai slot interaktif, antaranya “Teaching is Trending!” yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dalam bidang pendidikan, serta slot “TRANSFORMaERSikan” yang dikendalikan dengan jayanya oleh rakan kolaborasi dari PERMATEK.

Kedua-dua slot ini berjaya menarik perhatian peserta dan membuka ruang diskusi yang konstruktif berkaitan kemahiran dan nilai profesionalisme dalam kerjaya.

Menurut Pengarah Program, saudari Estereysa Godeng yang juga merangkap Exco Akademik dan Kerjaya AMAR UPSI, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam menjayakan program ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Menariknya, program ini turut mendapat penyertaan secara dalam talian melalui siaran langsung Facebook daripada cawangan AMAR institusi pengajian tinggi lain seperti AMAR IIUM, AMAR UNIMEL dan AMAR UKM, sekali gus memperluas jangkauan program ini kepada khalayak yang lebih luas.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana serta pasukan teknikal yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam memastikan kelancaran penganjuran program ini.

Diharapkan kejayaan ini dapat memperkukuh kedudukan AMAR UPSI sebagai sebuah entiti mahasiswa yang progresif serta mampu membawa aspirasi pencegahan rasuah dan pemantapan integriti ke peringkat yang lebih tinggi.