Oleh: Dr. Lilia Ellany Mohtar, Dr. Mazlina Musa, Dr. Adibah Abu Bakar dan Dr. Alene Tawang
Tanjong Malim, 27 Mei 2025 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI telah menganjurkan Program Pemerkasaan Pembantu Makmal dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak yang disertai seramai 60 orang pembantu makmal sekolah di negeri Perak.
Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 Mei dan 27 Mei 2025. Pada hari pertama untuk slot bidang kimia telah dikendalikan oleh Dr. Mazlina Musa dan Dr. Wan Haslinda Wan Ahmad yang dibantu oleh dua orang Pegawai Sains iaitu Cik Siti Noor Farina Mohd Fuad Ooi dan Puan Johana Jumiran.



Di dalam slot ini, peserta di beri pendedahan berkaitan penyediaan larutan piawai dengan menggunakan teknik dan peralatan mengikut piawai yang betul bagi menjamin kualiti sesuatu larutan atau bahan kimia yang disediakan.
Selain itu, peserta juga diberi penekanan tentang prosedur keselamatan dan etika yang tepat dalam menyendalikan bahan kimia untuk menyediakan larutan piawai.
Para peserta kelihatan teruja dan memberikan komitmen yang memberangsangkan sepanjang program berlangsung.
Perkongsian ilmu ini telah menarik minat perserta untuk berkongsi tentang kepentingan penyediaan larutan piawai bersama guru dan pelajar di sekolah masing-masing.


Slot hari kedua telah dikendalikan oleh Dr. Adibah Abu Bakar dan Dr. Alene Tawang iaitu pensyarah kanan daripada Jabatan Biologi FSM yang dibantu oleh dua orang Pegawai Sains iaitu Puan Marina Karunzaman dan Puan Irawati Othman.
Di dalam slot ini, para peserta telah diberi pendedahan terhadap prosedur awetan organisma hidup atau yang telah mati dengan etika makmal yang betul dan mengikut prosedur piawai.
Banyak ilmu yang dipelajari terutama berkaitan alternatif bahan yang boleh digunakan selain formalin untuk awetan tradisional bagi keselamatan kendiri.
Para peserta juga teruja untuk menyediakan sendiri bahan awetan serangga dan tumbuhan yang boleh dipamerkan di sekolah untuk rujukan pelajar, guru dan umum.
Aktiviti seterusnya, para peserta diberi pendedahan mengenai komponen asas mikroskop cahaya serta kaedah penjagaan peralatan tersebut dengan betul.
Suasana bengkel menjadi semakin rancak apabila peserta berpeluang mencuba sendiri kaedah penyediaan sampel sel tumbuhan dan haiwan secara efisien dan praktikal, sesuai untuk diaplikasikan di makmal sekolah.



Keterujaan jelas terpancar di wajah peserta yang berasa ilmu yang diperoleh sangat bermanfaat dan mudah diterapkan.
Lebih menarik lagi, bengkel ini turut menjadi medan perkongsian idea antara peserta dan fasilitator yang sentiasa terbuka kepada penambahbaikan serta pertukaran pandangan.
Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh jaringan profesional, malah menyemarakkan inspirasi untuk terus memantapkan pengurusan makmal dan memperkasa pendidikan sains/STEM di sekolah.
