Penasihat PERMATEK FTV (tengah kiri), bersama Pengarah Program, Afdhal Syakir bin Sabili (tengah kanan), menyempurnakan penyampaian medal bagi pemenang sesi malam.Penasihat PERMATEK FTV (tengah kiri), bersama Pengarah Program, Afdhal Syakir bin Sabili (tengah kanan), menyempurnakan penyampaian medal bagi pemenang sesi malam.

Oleh: Melviah Untong

Tanjong Malim, 25 Jun 2025 – Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sains Pertanian (PERSSAP) dan Persatuan Mahasiswa Keluarga dan Sains Konsumer (FACSA) telah menganjurkan Program FTV Sportacular 2025 bertempat di Court Arena Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dan Gelanggang Kolej Za’ba.

Program ini telah melibatkan penyertaan menyeluruh daripada pensyarah, staf serta pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional dalam pelbagai acara sukan yang dilaksanakan sepanjang hari.

Antara objektif utama penganjuran program ini ialah untuk memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup yang sihat, memberikan ruang penyertaan menyeluruh secara terancang, serta mempererat silaturahim dalam kalangan warga fakulti. Selain itu, program ini turut menjadi platform dalam mempromosikan imej positif fakulti melalui penglibatan aktif dan penuh komitmen daripada semua pihak yang terlibat.

Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain, turut menyatakan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa yang terlibat. Beliau menyifatkan program ini sebagai satu usaha bermakna dalam mempromosikan nilai murni kesukanan dan perlu diteruskan lagi pada masa akan datang. “Semoga program ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang sebagai simbol perpaduan dan kesejahteraan warga FTV” ujarnya.

Mohd Azlan juga menekankan melalui ucapannya tentang kepentingan aktiviti kokurikulum sebagai wadah penting dalam pembangunan holistik mahasiswa FTV khususnya.

Aktiviti sukan dimulakan dengan pertandingan futsal perempuan dan diikuti dengan aktiviti sukan bola tampar dan badminton yang melibatkan pensyarah, staf dan mahasiswa FTV. 

Sesi petang menyaksikan perlawanan futsal lelaki, manakala sesi malam pula diteruskan dengan aktiviti bola jaring, yang menjadi kemuncak kepada keseluruhan program. Kedua-dua sesi tersebut disertai dengan semangat kerjasama dan kesukanan yang tinggi.

Pertandingan Badminton antara staf dan pelajar di Arena UPSI mengeratkan hubungan dan semangat kesukanan warga FTV
Penyampaian Medal Sesi Pagi Oleh Dekan FTV Dan Merasmikan Program FTV Sportacular.
Tirai FTV Sportacular 2025 dilabuhkan dengan gambar kenangan penuh semangat dan kebersamaan para warga FTV.

Menurut pengarah program, Afdhal Syakir, “FTV Sportacular 2025” berjaya memberi ruang kepada seluruh warga fakulti untuk bersama-sama menyertai acara sukan secara aktif dan harmoni. FTV Sportcular 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh semangat, kenangan dan kejayaan pencapaian terhadap objektif yang ditetapkan. Semoga program ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang sebagai simbol perpaduan dan kesejahteraan warga FTV.