Para peserta bengkelPara peserta bengkel

Oleh Ts. Marina Mokhtar dan ChM. Dr. Sharifah Norain Mohd. Sharif

Tanjung Malim, 3 Julai 2025 — Selaras dengan arus pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang pesat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains dan Matematik (FSM) telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Intensif Penerbitan FSM berbantukan Kecerdasan Buatan (AI).

Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan AI dalam penulisan artikel ilmiah serta strategi pemilihan jurnal berimpak tinggi.

Bengkel yang berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai 2025 di Bilik Seminar FSM ini telah menghimpunkan seramai 58 orang peserta, terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah Fakulti Sains dan Matematik.

Program tiga hari ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Prof. Dr. Rosmilah Misnan, sebelum diteruskan dengan ceramah bertajuk Teknik Penulisan Manuskrip Berimpak Tinggi berbantukan Kecerdasan Buatan yang disampaikan oleh PM. Ts. Dr. Muhammad Noorazlan bin Abd. Azis dari FSM sendiri.

Dalam sesi ini, para peserta didedahkan kepada kepelbagaian aplikasi AI seperti ChatGPT, Grammarly, serta perisian analisis bibliometrik yang dapat dimanfaatkan bagi membantu dalam proses penstrukturan artikel, memperkemas laras bahasa, mempercepatkan pencarian literatur relevan, serta menghasilkan ilustrasi saintifik yang lebih menarik dan tepat.

Pada hari kedua, bengkel diteruskan dengan sesi bimbingan oleh PM Dr. Hafizul Fahri Hanafi dari Fakulti Meta UPSI, yang membawakan topik Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Penerbitan Artikel Berimpak Tinggi (Scopus/ISI/WoS).

Sesi perasmian oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI, YBrs. Prof. Dr. Rosmilah Misnan

Dalam sesi ini, para peserta diberi peluang menjalani latihan praktikal (hands-on) melibatkan keseluruhan proses penulisan — daripada pembinaan tajuk artikel, penyusunan kerangka penulisan, sehinggalah kepada strategi pemilihan jurnal berimpak tinggi yang sesuai untuk penerbitan.

Hari ketiga bengkel memberi ruang sepenuhnya kepada peserta untuk menumpukan kepada penulisan artikel masing-masing dengan bimbingan fasilitator.

Pelaksanaan bengkel ini dilihat amat signifikan dalam memperkukuh kompetensi pensyarah dan pelajar pascasiswazah melalui pemantapan kemahiran teknikal dalam penulisan ilmiah, sekali gus berpotensi meningkatkan kadar penerbitan artikel jurnal berimpak tinggi dan melonjakkan kedudukan UPSI di persada antarabangsa.