Oleh: Haikal Musa

Tanjong Malim, 7 Julai 2025 – Sebanyak 624 orang pelajar baharu Diploma Ambilan Julai 2025 telah melakar langkah pertama mereka sebagai warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penuh semangat dan kesungguhan melalui Majlis Ikrar Pelajar yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAS).

Majlis yang penuh simbolik ini disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin bin Md. Taff, yang turut diiringi oleh barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), Dekan-dekan Fakulti, serta para pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).

Dalam amanat penuh makna, Naib Canselor menegaskan bahawa menjadi mahasiswa di UPSI bukan hanya tentang mengejar segulung ijazah, tetapi lebih besar dari itu, ia adalah tentang membentuk keperibadian, menjunjung nilai adab dan membina sahsiah unggul.

“Ilmu yang tinggi tidak akan bererti tanpa akhlak yang luhur. UPSI bukan sahaja mendidik, tetapi membentuk insan. Di sini, saudara-saudari akan digilap bukan hanya sebagai cendekiawan, tetapi sebagai pemimpin yang berprinsip dan beradab,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.

Pelajar-pelajar baharu kemudiannya melafazkan Ikrar Mahasiswa sebagai tanda kesetiaan dan komitmen mereka untuk mematuhi segala peraturan, menjunjung nama baik universiti, serta berpegang kepada nilai-nilai murni sepanjang tempoh pengajian mereka.

Lafaz ikrar yang bergema di ruang dewan menjadi detik penting bukan sekadar acara formal tetapi simbolik kepada permulaan satu perjalanan ilmu, jati diri dan tanggungjawab.

Majlis ini turut menyuntik semangat dan harapan agar kesemua pelajar baharu menjadi generasi mahasiswa yang seimbang dari segi intelektual, emosi dan akhlak, selari dengan visi UPSI untuk melahirkan pemimpin pendidikan yang berwibawa dan berintegriti.