Wakil pelajar baharu diploma dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Kamarul Arif menyerahkan dokumen aku janji pelajar kepada Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff sempena majlis Bacaan Ikrar Pelajar di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSIWakil pelajar baharu diploma dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, Kamarul Arif menyerahkan dokumen aku janji pelajar kepada Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff sempena majlis Bacaan Ikrar Pelajar di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 8 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh nilai murni dan identiti institusi menerusi penekanan terhadap budaya BAIKK dalam kalangan pelajar baharu Diploma ambilan Julai sesi 2025/2026.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, Budaya BAIKK itu merangkumi elemen Bangga UPSI, Adab, Ilmu, Keluarga dan Kreativiti

Menurut beliau, pelajar UPSI perlu sentiasa mempunyai rasa bangga terhadap universiti sebagai sebuah institusi berprestij dalam melahirkan pendidik unggul negara.

“Bangga UPSI bukan sekadar slogan, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap warisan dan legasi universiti yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Tambah beliau, nilai adab pula merupakan asas penting dalam membentuk jati diri mahasiswa yang berintegriti dan beretika, selaras dengan aspirasi UPSI sebagai kampus berteraskan ilmu dan nilai.

“Saya sering mengingatkan pelajar bahawa adab mendahului ilmu. Ilmu tanpa adab boleh membawa kebinasaan, tetapi dengan adab, ilmu akan lebih berkat dan dihormati.

Barisan pengurusan tertinggi UPSI bergambar bersama 624 orang pelajar diploma baharu ambilan Julai 2025 dalam majlis Bacaan Ikrar Pelajar di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI
Kamarul Arif, pelajar dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI mengetuai bacaan ikrar sempena majlis Bacaan Ikrar Pelajar Diploma di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Bacaan Ikrar Pelajar Baharu Diploma ambilan Julai 2025/2026 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, baru-baru ini.

Kata beliau, mahasiswa harus menjadikan pencarian ilmu sebagai teras utama sepanjang pengajian di UPSI, bukan hanya untuk memperoleh segulung diploma, tetapi untuk menjadi insan yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

“UPSI ialah kampus ilmu. Maka tuntutlah ilmu dengan sungguh-sungguh dan jangan pernah berhenti belajar walau setelah bergelar graduan kelak.

Dalam pada itu, konsep keluarga turut ditekankan bagi membentuk suasana harmoni dan saling menghormati dalam komuniti kampus, yang mampu mencipta ekosistem pembelajaran yang kondusif dan menyokong antara satu sama lain.

“Kita semua di UPSI ini adalah satu keluarga besar. Hubungan pelajar, pensyarah, staf dan pentadbiran perlu berasaskan kasih sayang, tolong-menolong dan hormat-menghormati.

Elemen terakhir iaitu kreativiti, katanya, penting untuk membina generasi mahasiswa yang berfikir di luar kotak, mampu bersaing di peringkat global dan menyumbang kepada inovasi dalam pelbagai bidang.

Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff semasa menyampaikan ucapan kepada pelajar baharu diploma sempena majlis Bacaan Ikrar Pelajar Diploma di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI
Para pelajar baharu Diploma mengambil peluang bergambar bersama Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff sempena majlis Bacaan Ikrar Pelajar Diploma di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

“Saya berharap mahasiswa baharu UPSI akan tampil dengan idea-idea segar dan kreatif. Jadilah pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga kaya dengan nilai tambah dan inovatif,” ujar beliau.

Terdahulu, seramai 624 orang pelajar diploma baharu telah mendaftar pada 6 Julai lalu sebagai warga UPSI, yang akan mengikuti pelbagai program pengajian di pelbagai fakulti antaranya Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) serta Fakulti Sains dan Matematik (FSM).