Oleh: Dr Harnani Mat Zin (NCDRC)
Putrajaya, 28 Julai 2025 – Satu sesi ujian penerimaan pengguna (User Acceptance Test (UAT)) bagi Modul Pemakanan telah berjaya diadakan dengan melibatkan seramai 10 orang pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sesi ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan sistem pengurusan pemakanan secara digital bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program kesihatan pemakanan di peringkat nasional.


Sesi ini melibatkan pegawai daripada Sektor Survelan Pemakanan serta Sektor Pemakanan Bayi dan Kanak-kanak Bawah 5 Tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penglibatan pelbagai bahagian ini mencerminkan pendekatan holistik dan kolaboratif dalam memastikan modul yang dibangunkan menepati keperluan operasi di lapangan serta memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.


Sesi UAT ini dijalankan bagi menilai kefungsian modul, kesesuaian aliran kerja (workflow), serta kebolehgunaan antara muka sistem (user interface). Beberapa senario penggunaan telah diuji secara langsung oleh para pegawai, dan maklum balas yang diperoleh amat bernilai untuk memperkemaskan lagi sistem sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Perancangan & Dasar Pemakanan Sektor Survelan Pemakanan, Teh Wai Siew, modul ini dijangka dapat membantu dalam pengumpulan data pemakanan yang lebih sistematik serta memudahkan pemantauan dan pelaporan aktiviti pemakanan bagi kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Ia juga akan dapat membantu pihak KKM membuat saringan dan intervensi dengan lebih mudah dan cepat.
Secara keseluruhan, sesi UAT ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan menjadi langkah penting ke arah pelaksanaan sistem yang lebih efisien dan berfokus kepada pengguna. Penambahbaikan yang dicadangkan hasil daripada sesi ini akan diambil kira dalam fasa akhir pembangunan sebelum pelancaran rasmi modul Pemakanan.
