oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Nur Iman Safiah Mohamad Zuki
Sintok, 19 September 2025 – Program Sangkutan Kakitangan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) ke UUM International School (UUMIS), Sintok, Kedah telah berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025.
Program ini melibatkan lapan orang guru dan kakitangan dari SRSB serta 23 orang guru dari UUMIS. Rombongan ini diketuai oleh Dr. Kama bin Shaffeei, Chief of Education (CoE) SRSB, dan disambut mesra oleh Pengetua UUMIS, Puan Nik Nazlin binti Nik Mohammed Yusoff.
Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada guru dan kakitangan SRSB mempelajari pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berorientasikan hasil yang diamalkan di UUMIS.
Selain itu, program ini turut menggalakkan pertukaran idea, bahan bantu mengajar, dan kaedah PdP terbaik melalui kolaborasi dua hala antara SRSB dan UUMIS.
Pada 17 September, para peserta mengikuti taklimat ringkas mengenai operasi UUMIS, sebelum meneruskan lawatan ke sekitar sekolah yang merangkumi bilik darjah, perpustakaan, makmal sains dan dewan.
Seterusnya, guru-guru SRSB bersama guru-guru UUMIS melaksanakan In-Class Survey bagi meninjau kaedah pedagogi serta pelaksanaan PdP berasaskan kurikulum Cambridge di bilik darjah.
Lawatan turut disusuli dengan pemerhatian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) bagi meneliti pendekatan pengajaran KAFA yang dijalankan di UUMIS.
Pada 18 September, aktiviti diteruskan dengan pemerhatian terhadap aktiviti sokongan dan kelab pada sebelah petang.
Walaupun aktiviti sukan seperti futsal dan ragbi tidak dapat dijalankan akibat cuaca hujan, para peserta tetap berpeluang menyertai aktiviti bersama guru-guru dan murid-murid di Dewan Sri Tamar UUMIS.
Antara aktiviti tersebut termasuklah persiapan untuk program Entrepreneur and Culture Day yang dijadualkan berlangsung pada minggu berikutnya.
Hari terakhir, 19 September, dimulakan dengan sesi perkongsian antara guru-guru SRSB dan UUMIS. Sesi ini dibuka dengan ucapan aluan daripada Pengetua UUMIS, Puan Nik Nazlin Nik Mohammed Yusoff, disusuli dengan ucapan daripada Dr. Kama Shaffeei, CoE SRSB.



Perkongsian ini merangkumi latar belakang sekolah, struktur organisasi, subjek yang ditawarkan, silibus, serta kaedah PdP yang diamalkan oleh kedua-dua institusi.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan jamuan ringkas yang menandakan penutup mesra serta bermakna.
Melalui program ini, diharapkan kolaborasi antara SRSB dan UUMIS dapat diteruskan bagi memperkukuh kompetensi guru, mempelbagaikan PdP dan meningkatkan kualiti pendidikan.
Program ini juga diharap memberi inspirasi kepada guru untuk mengamalkan pendekatan terbaik demi manfaat murid, sekali gus memastikan pendidikan negara seiring standard global serta melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing.

