Dr. Roziah (empat dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian AKIRA 2024 di Dewan SITC, KSAJS UPSIDr. Roziah (empat dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian AKIRA 2024 di Dewan SITC, KSAJS UPSI

Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 8 Oktober 2025 – Majlis Anugerah Akademia Bitara (AKIRA) 2024 yang berlangsung di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menyerlahkan komitmen universiti itu dalam memperkukuh budaya kecemerlangan, inovasi dan transformasi dalam pendidikan tinggi negara.

Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPSI, Datuk Prof Emerita Dr. Roziah Omar, berkata majlis tersebut bukan sekadar acara penghargaan, sebaliknya simbol aspirasi kolektif dalam membina insan berilmu, berdaya saing dan berjiwa madani.

“Pengiktirafan malam ini menghargai jasa dalam pembinaan legasi ilmu yang selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.

“Lebih 50 anugerah yang ditawarkan menjadi bukti nyata komitmen UPSI dalam mewujudkan ekosistem yang holistik dan inklusif,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, AKIRA menjadi jambatan strategik yang menghubungkan kecemerlangan dalaman UPSI ke pentas nasional dan global, sekali gus menetapkan kayu ukur baharu terhadap budaya pengiktirafan dan profesionalisme akademik.

“Kita mahu semarakkan budaya di mana tiada sumbangan yang dianggap kecil. Setiap langkah kecil membentuk jejak gergasi terhadap kemajuan universiti.

Menurutnya, kejayaan UPSI menempatkan diri di tangga ke-126 dunia bagi The World University Rankings by Subject 2025: Education Studies membuktikan keupayaan pakar tempatan dan status universiti itu sebagai rujukan global dalam bidang pendidikan.

Dr. Md Amin ketika menyampaikan ucapan aluan sempena AKIRA 2024 di Dewan SITC, KSAJS UPSI
Datuk Prof Emerita Dr. Roziah ketika menyampaikan ucapan aluan sempena AKIRA 2024 di Dewan SITC, KSAJS UPSI

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata tahun 2024 dan 2025 merupakan tempoh kegemilangan UPSI apabila pelbagai kejayaan penting diraih di peringkat nasional dan antarabangsa.

“UPSI kini berada di tangga ke-851 dalam QS World University Rankings 2026, ke-601 dalam THE World University Rankings 2025 serta ke-165 dalam QS Asia University Rankings 2025.

“Kejayaan ini mengangkat UPSI bukan sahaja di persada nasional, malah menjadi rujukan global dalam pendidikan dan inovasi.

“UPSI juga mengharumkan nama negara dengan kemenangan dalam Anugerah Kecemerlangan Akademik (AKRI) 2024, kejayaan di GESS Education Awards Dubai serta pencalonan sebagai finalis dalam empat kategori QS Reimagine Education Awards 2025.

Dr. Md Amin berkata AKIRA bukan sekadar acara penghargaan dalaman, tetapi platform strategik bagi mempersiapkan calon terbaik ke peringkat antarabangsa serta mengiktiraf sumbangan warga akademik universiti.

“Tahun ini kita memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Anugerah Khas Akademik Naib Canselor dan Anugerah Akses & Inklusif, melengkapkan lebih 50 anugerah dengan jumlah hadiah melebihi RM150,000 sebagai bukti komitmen universiti terhadap budaya pengiktirafan dan kebitaraan,” katanya.

Antara penerima utama majlis tersebut ialah Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril yang dinobatkan sebagai Tokoh Akademia UPSI, Prof. Dr. Azmi Mohamed penerima Anugerah Khas Akademik Naib Canselor, serta Allahyarham Datuk Dr. Ashari Che Mat yang dianugerahkan Anugerah Anumerta Akademia UPSI atas jasa dan sumbangan besar beliau dalam dunia pendidikan.

Selain itu, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Fakulti Terbaik, mengiktiraf kecemerlangan fakulti tersebut dalam aspek akademik, penyelidikan dan pembangunan pelajar sepanjang tahun.

“Kejayaan UPSI adalah hasil kesatuan hati dan usaha seluruh warga. Setiap pencapaian yang kita raih ialah hasil kerja kolektif dalam memartabatkan Ibu Kandung Suluh Budiman di persada dunia,” katanya.

Majlis berprestij itu diadakan bagi menghargai kecemerlangan akademik dan sumbangan warga UPSI, dengan kehadiran pengurusan tertinggi universiti, penerima anugerah serta tetamu kehormat dari pelbagai agensi dan institusi pendidikan.