Oleh: Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa, Prof Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim dan Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail 

TANJONG MALIM, 22 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dan Low Carbon Education & Recycling Research Centre (LCERC) serta Jabatan Alam Sekitar Perak melaksanakan program komuniti berimpak tinggi bertajuk Community Recycling Program: Plastic Waste to Fuel di Dewan Masjid Jamek Tanjong Malim.

Program yang berlangsung selama hampir tiga bulan bermula 13 Oktober hingga 31 Disember 2025 ini bertujuan mendidik masyarakat agar melihat sisa plastik bukan sebagai sampah, sebaliknya sebagai sumber tenaga baharu yang berpotensi menjana ekonomi hijau tempatan.

Majlis taklimat dan perkongsian ilmu bersama komuniti itu disertai wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari Kampung Ketoyong, Simpang Empat, Lubuk Salak dan Kampung Kelawar, Tanjong Malim, Kampung Kurnia, Slim River serta pegawai dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.

Inisiatif ini turut menerima sumbangan dana daripada Jabatan Alam Sekitar melalui program Rakan Alam Sekitar (RAS) bagi memastikan kesinambungan aktiviti selama tempoh pelaksanaan.

Menurut Profesor Dr Azmi Mohamed, Pengarah Jabatan Strategik, UPSI dalam ucapan, “Program ini bukan sekadar kitar semula, tetapi satu gerakan komuniti berasaskan ilmu dan tindakan. Setiap peserta sama ada pelajar, penduduk kampung atau rakan industri memainkan peranan penting dalam membina ekonomi hijau dan menanam kesedaran rendah karbon di peringkat akar umbi.”

“”Usaha ini bukan sahaja menyokong aspirasi Malaysia Madani dan Dasar Alam Sekitar Negara, malah turut seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), serta SDG 13 (Tindakan Terhadap Iklim).

“Walaupun kita bermula di kampung, impaknya mengalir jauh ke peringkat global. Dunia sedang memerhati bagaimana komuniti kecil seperti ini mampu menjadi inspirasi kepada perubahan sejagat”, tambahnya lagi.

Antara aktiviti utama yang dirancang ialah sesi perkongsian ilmu bersama Ketua Unit Pendidikan dan Pengawasan JAS Negeri Perak, Puan Aini Oriza Ramli, bagi memperkenalkan jenis-jenis sisa plastik dan potensi teknologi inovasi hijau yang menukar sisa plastik kepada bahan tenaga baharu.

Selain itu, aktiviti Beat Plastic Brisk Walk akan diadakan pada 27 Oktober sebagai pendekatan santai memupuk gaya hidup sihat dan kesedaran pemulihan alam sekitar. Program Recycle and Low Carbon @ Communities serta Projek Inovasi Kitar Semula Bersama Komuniti turut dijadualkan pada 19 November bagi mengaplikasikan inovasi secara praktikal di lapangan.

Kemuncak program dijangka berlangsung pada 13 Disember 2025 sempena Karnival Alam Sekitar UPSI, manakala Majlis Penutup dijadual pada 15 Disember 2025 sebagai simbol kesyukuran atas kejayaan inisiatif tersebut.

Program ini diharap menjadi model terbaik kerjasama universiti dan komuniti dalam memperkukuh peranan UPSI sebagai universiti pendidikan yang melahirkan bukan sahaja graduan berilmu, tetapi juga warganegara yang mencintai bumi dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam.