Oleh: Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis (FTV)

MALANG, Indonesia, 9 Okt 2025 – Kehebatan anak muda tempatan dalam dunia fesyen terus menyerlah apabila enam pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri tumpuan dalam Pertunjukan Fesyen Antarabangsa “Horizone: Trendversity” yang berlangsung di Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang, Indonesia, baru-baru ini.

Pertunjukan fesyen berprestij itu menampilkan 258 rekaan pakaian yang diilhamkan daripada ramalan trend antarabangsa Worth Global Style Network (WGSN) 2025/2026, menjadikannya antara acara penting yang menggabungkan inovasi dan trend global dalam dunia rekaan fesyen pelajar universiti rantau ini.

Acara tersebut turut diserikan dengan sesi talkshow bersama Asst. Prof. Dr. Ka Tat Nixon Chen dari Mahidol University International College (MUIC), Thailand, serta beberapa pereka fesyen terkenal di Malang Raya seperti Chrisnawati Evayana, Dwi Haris Setyawan, dan Yeti Topiah.

Dalam acara berprestij itu, enam pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Rumah Tangga, FTV, UPSI tampil bergaya dengan rekaan bertemakan pakaian malam yang menonjolkan sentuhan elegan dan kreativiti tinggi. Mereka ialah Radin Wafa Kamaruzaman, Nur Syamimi Mohd Sukeri, Nurin Aqilah Mohamad Nawi, Nor Ain Aina Norhisoh, Nurul Fazliana Mat Nawi dan Nur Anis Fariha.

Lebih membanggakan, Radin Wafa Kamaruzaman diumumkan sebagai penerima Anugerah “Best Costume”, sekali gus mengangkat nama UPSI di pentas fesyen antarabangsa.

Kejayaan ini turut mencerminkan peranan penting bimbingan oleh Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis, pensyarah kursus Pembuatan Pakaian Wanita Lanjutan, serta Senijulita Johari, pereka fesyen berpengalaman yang membantu pelajar memperkukuh kemahiran dalam bidang rekaan profesional.

Selaras dengan aspirasi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, yang menekankan kepentingan pengantarabangsaan pendidikan tinggi dalam Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024, penyertaan UPSI dalam “Trendversity” memperkukuh usaha memartabatkan bidang TVET dan seni reka fesyen ke peringkat global.

Selain menjadi platform mengiktiraf kreativiti pelajar, acara ini turut memperkenalkan warisan budaya Malaysia dan Indonesia kepada UNESCO, membuka ruang kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap seni dan budaya tempatan.

Program seumpama ini bukan sahaja meraikan bakat serta inovasi pelajar dalam bidang fesyen, malah berperanan memperkukuh jalinan akademik serantau, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keunikan seni fesyen berteraskan kepelbagaian budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.