Oleh: Jamilah Mohd Basir

KUALA LUMPUR, 6 November 2025 – Perbincangan rasmi antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) bersama YB Dato’ Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar, telah diadakan bagi membincangkan potensi kerjasama dalam memperkukuh ekosistem asuhan dan didikan awal kanak-kanak di kawasan Parlimen Paya Besar.

Perbincangan ini bertujuan mengenal pasti keperluan dan peluang strategik dalam membangunkan kerangka kerja holistik yang dapat dijadikan model pembangunan komuniti setempat berasaskan pendekatan pendidikan awal dan kesejahteraan keluarga.

Hasil pertemuan ini menyaksikan persetujuan untuk melaksanakan sesi libat urus awal di Paya Besar bagi merangka pelan tindakan komprehensif PAKK yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO dan pemimpin komuniti.

Bengkel pertama bersama pemegang taruh (stakeholders) dijadualkan berlangsung pada Disember 2025 sebagai langkah awal ke arah pelaksanaan Rangka Kerja Strategik Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Paya Besar.