Oleh: Dorothy Dolly Anthony
Tanjong Malim, 8 November 2025 – Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bergema dengan semangat wacana ilmiah apabila Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI 2025 berlangsung dengan penuh jayanya. Persidangan ini telah diadakan selama dua hari, iaitu pada 7 dan 8 Oktober 2025 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Persidangan ini menjadi simbol kematangan intelektual dan keberanian mahasiswa UPSI dalam menyuarakan pandangan serta membahaskan isu kampus secara rasional dan berfakta. Persidangan ini menghimpunkan seramai 60 perwakilan yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan wakil persatuan. Setiap usul yang dibentangkan menggambarkan keprihatinan mahasiswa terhadap isu-isu utama kampus bermula daripada kebajikan hinggalah kepada aspek pemerkasaan akademik dan kesejahteraan mental mahasiswa.
Persidangan ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Salina binti Samsudin, yang dalam ucapannya menegaskan kepentingan platform sebegini sebagai ruang melatih mahasiswa menjadi pemimpin berwibawa dan berprinsip. Beliau turut menyeru mahasiswa agar terus berani bersuara dengan hikmah serta menjadikan setiap usul dan hujah sebagai tanda keprihatinan terhadap masa depan yang lebih bermakna untuk semua.



Penganjuran Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI 2025 bukan sahaja memperkukuh budaya intelektual dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, malah turut menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pendekatan ini membuktikan bahawa mahasiswa UPSI bukan sahaja berfikir dalam ruang lingkup kampus, tetapi turut bergerak seiring dengan agenda global ke arah pembangunan lestari dan kesejahteraan sejagat.
Sebanyak lima kluster utama telah terlibat semasa perbahasan Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI 2025, iaitu Kluster Isu Semasa, Kluster Kebajikan, Kemudahan dan Kelestarian Kampus, Kluster Pemerkasaan Mahasiswa, Kluster Akademik dan Sukan, serta Kluster Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah. Kelima-lima kluster ini berperanan sebagai tunjang utama perbahasan yang mewakili suara mahasiswa secara keseluruhan. Setiap kluster bukan sahaja berfungsi sebagai wadah perbincangan, tetapi juga sebagai platform strategik bagi mahasiswa menyuarakan isu, cadangan penambahbaikan serta solusi konkrit berasaskan kajian dan data semasa.
Sepanjang dua hari persidangan berlangsung, para perwakilan daripada setiap kluster telah membahaskan sebanyak sepuluh (10) usul yang meliputi pelbagai agenda pembangunan mahasiswa UPSI. Perbahasan yang dijalankan dengan penuh disiplin dan profesionalisme ini bukan sekadar menguji keupayaan berhujah, tetapi turut memperlihatkan kematangan mahasiswa dalam memahami struktur pentadbiran universiti serta peranan mereka sebagai agen perubahan di peringkat kampus. Perbincangan dalam setiap kluster turut menzahirkan semangat demokrasi kampus yang sihat, di mana setiap pandangan dihormati dan setiap usul dinilai berdasarkan merit serta keberkesanannya terhadap kebajikan warga universiti.
Akhir kata, Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI 2025 merupakan bukti nyata bahawa suara mahasiswa adalah lambang perubahan, pembaharuan dan harapan untuk masa depan universiti serta negara yang lebih gemilang. Persidangan ini bukan sekadar pentas perbahasan, tetapi medan yang memperkasa mahasiswa untuk tampil berani menyuarakan pandangan, memperjuangkan kebenaran dan mencari solusi kepada isu yang menyentuh kepentingan bersama. Platform ini juga membuktikan bahawa mahasiswa UPSI adalah generasi intelektual yang berjiwa besar, berwawasan dan bersedia memimpin masa depan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
