Oleh: Siti Salwa Jamaldin

TANJONG MALIM, 6 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi menjadi tumpuan dunia seni apabila Festival Warisan Nusantara: Rentak Tari Destar Limar 2.0 berlangsung dengan penuh meriah di kampus universiti tersebut malam ini.

Program anjuran Kelab Destar Limar UPSI itu berjaya menghimpunkan keindahan dan kepelbagaian seni tari tradisional dari Malaysia, Indonesia, dan Brunei sekali gus memperkukuh jaringan komuniti seni serta mengangkat martabat warisan budaya Nusantara ke peringkat antarabangsa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Daerah Tanjong Malim, Encik Roslan bin Kamarulzaman, manakala Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Siti Salwa binti Jamaldin turut hadir memeriahkan acara tersebut bersama para tetamu kehormat, peserta dan penonton yang membanjiri dewan.

Festival ini diadakan dengan matlamat untuk memartabatkan seni tari tradisional, mengukuhkan jaringan komuniti seni, dan melestarikan warisan budaya agar terus hidup serta diwarisi oleh generasi muda dalam arus kemodenan. Menurut penganjur, festival ini bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi wadah untuk menzahirkan jati diri bangsa dan menghayati nilai estetika budaya yang diwarisi turun-temurun.

Majlis dimulakan dengan Slot 1: Negara Malaysia, yang menampilkan Tarian Kemahang oleh Kolej Matrikulasi Pahang, Tarian Zapin Malam Pertama oleh Kelab Destar Limar, Tarian Dabus oleh UiTM Rembau, dan Tarian Melanau oleh Destar Limar. Persembahan ini menyerlahkan keindahan gerak dan kehalusan seni tari pelbagai etnik tanah air.

Seterusnya, Slot 2: Negara Indonesia memukau penonton dengan Tarian Serampang 12 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tarian Minang oleh Destar Limar, dan Tarian Tanggai Sang Dara oleh Sanggar Musi, Palembang, Indonesia. Persembahan selingan oleh artis jemputan Rofikoh Isnaini menambahkan seri dengan alunan suara merdu yang membangkitkan semangat budaya serantau.

Slot 3: Negara Vietnam & Malaysia turut menampilkan variasi budaya dua negara melalui Tarian Vietnam oleh Destar Limar, Tarian Zapin Seri Bunian oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Tarian Zapin Putar Lam oleh Universiti Putra Malaysia (UPM). Persembahan selingan oleh Syafiqah Rosli, artis jemputan tempatan, turut mencuri perhatian dengan sentuhan tradisional moden yang mempesona.

Dalam ucapan penutup, wakil Kelab Destar Limar UPSI menegaskan bahawa setiap gerak tari, irama muzik, dan busana berwarna-warni yang dipersembahkan menggambarkan cerita serta sejarah bangsa yang hidup dalam setiap langkah tarian.

“Apabila kita menyaksikan lenggok tari dan irama muzik tradisional, kita sebenarnya sedang melihat sejarah dan identiti bangsa yang terus hidup dalam jiwa generasi muda,” ujar wakil kelab tersebut.

Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja yang memainkan peranan penting dalam menjayakan festival ini, termasuk:
Renjis by Galeri Juzi, Galeri Juzi, Al-Fateh Catering, NADI: Pusat Sebaran Maklumat Nasional, JM D’Fluer Bouquet, Scholar Suites Hospitality Training Centre, The Chef Box, Laksa Sarang Pokok Tumbang, Cartel Clothing Printing, Rentak Seni, dan Tari Seri Maharani.

Sokongan penaja ini membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kelestarian warisan budaya bangsa terus dipelihara dan diraikan.

Penganjur berharap agar Festival Warisan Nusantara: Rentak Tari Destar Limar 2.0 akan diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja meraikan keindahan seni dan warisan, tetapi turut menjadi platform memperkukuh semangat kebudayaan, perpaduan dan identiti bangsa di peringkat serantau.