Oleh: Aqeelah Ibrahim Yim

Tanjong Malim,18 November 2025– Program Street Dakwah anjuran Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali lagi menghimpunkan mahasiswa dalam sebuah usaha lapangan yang sarat dengan mesej kerohanian dan pembinaan akhlak. Program yang berlangsung pada 18 November 2025 ini berjaya menarik lebih 85 peserta merangkumi pelajar daripada pelbagai fakulti dan latar belakang.

Program bermula pada jam 9.00 malam di Masjid Al-Mursyidin dengan taklimat ringkas sebelum para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan kemudiannya digerakkan ke lokasi strategik sekitar kampus UPSI seperti Kafe Kolej Ungku Omar (KUO), Bustop KUO, Kafe Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Bustop KHAR, Bustop Kolej Aminuddin Baki (KAB) serta Kafe Kolej Za’ba. Pemilihan lokasi ini bertujuan memastikan mesej dakwah dapat disebarkan secara lebih inklusif kepada komuniti pelajar pada waktu malam.

Fokus Street Dakwah pada edisi kali ini memberi penekanan kepada tema “Adab Seorang Muslim”, khususnya adab terhadap Allah dan adab terhadap ibu bapa. Para peserta bukan sahaja menyampaikan dakwah, malah turut mengadakan sesi dialog, perkongsian pengalaman, serta perbualan santai bersama rakan-rakan mahasiswa yang ditemui. Pendekatan lembut dan mesra ini menjadikan penyampaian dakwah lebih dekat di hati, mudah difahami dan diterima.

Setiap lokasi menjadi ruang interaksi dinamik melalui tazkirah mini, sesi soal jawab, bacaan doa serta perkongsian refleksi ringkas. Tidak ketinggalan, risalah kecil berkenaan adab turut diedarkan sebagai bahan bacaan tambahan. Suasana kampus yang tenang pada malam itu terpancar dengan kehadiran ramai pelajar yang berhenti seketika untuk mendengar, bertanya dan turut serta dalam sesi dakwah yang berlangsung.

Program ini secara tidak langsung membuka peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan kemahiran dakwah secara berhemah, mengasah komunikasi, serta memahami realiti lapangan sebenar. Sebilangan besar peserta menyatakan bahawa pengalaman ini meningkatkan keyakinan mereka untuk berdialog tentang nilai dan akhlak Islam secara inklusif dan penuh hikmah.

Program melabuhkan tirainya sekitar jam 11.00 malam dengan sesi penutup dan doa kesyukuran di Masjid Al-Mursyidin. Para peserta pulang dengan pengalaman yang memperkayakan jiwa serta semangat baharu untuk terus menyebarkan kebaikan dalam komuniti kampus.

Street Dakwah KeSUA sekali lagi membuktikan keberkesanannya sebagai platform memperkukuh kesedaran rohani, mengeratkan hubungan sesama mahasiswa, dan memupuk budaya dakwah yang lembut namun berimpak besar. Program ini bukan sekadar mengajak kepada kebaikan, tetapi turut menyatukan mahasiswa melalui nilai-nilai murni yang membina peribadi.