oleh En. Mohd Razalli Ahmad Termizi

Tanjong Malim, 18 Oktober 2025- Wacana Pengkisahan Kampung Mogah sempena Pesta Buku UPSI ke-20 yang berlangsung di Dewan SITC, UPSI, membuka lembaran sejarah komuniti Pakistan awal di Tanjong Malim.

Kampung Mogah, seluas 2.4 ekar dengan 15 buah rumah, diasaskan sekitar awal 1900-an oleh Tuan Jiwa Hazara dan rakan-rakan dari Moga, Punjab, Pakistan.

Mereka bukan sahaja membina penempatan tetapi turut mempelopori perniagaan pengangkutan dengan menubuhkan Mogah Omnibus Co. Sdn. Bhd. pada tahun 1943, yang pernah mengendalikan laluan Tanjong Malim – Slim River – Sungkai.

Wacana ini menampilkan Tuan Haji Shafiek Sultan (Ketua Kampung Mogah), Dato’ Mohd Farid Mohamad Ali (Ahli Majlis MDTM) dan dimoderatorkan oleh Dr. Sahul Hamid Mohamad Maidin (UPSI).

Seramai 471 peserta hadir, termasuk Tok Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Ahmad, Cik Noriha binti Muhammad, dan Dr. Laili Farhana binti Md. Ibharim.

Acara ini menjadi langkah penting dalam mendokumentasikan sejarah Kampung Mogah dan Syarikat Bas Mogah sebagai warisan komuniti dan rujukan generasi akan datang.