Oleh: Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan

Tanjong Malim, 16 Oktober 2025 – Dewan SITC Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menjadi medan wacana ilmu apabila Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyampaikan syarahan bertajuk “Peranan Bahasa dan Sastera dalam Pembentukan Budaya Nilai Tinggi.”

Program anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun dan Pejabat Karang Mengarang UPSI ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), manakala sesi wacana dikemudi oleh Profesor Dr. Azhar Wahid sebagai moderator.

Dalam wacana tersebut, Dato’ Dr. Anwar menegaskan bahawa bahasa dan kesusasteraan merupakan teras utama pembentukan tamadun dan jati diri bangsa.

Menurut beliau, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga wadah warisan budaya yang mencerminkan pandangan dunia dan identiti penuturnya.

Beliau turut menjelaskan hipotesis Sapir-Whorf yang menunjukkan bagaimana struktur bahasa mampu mempengaruhi cara berfikir dan nilai budaya sesuatu masyarakat

Selain itu, beliau menekankan bahawa sastera berperanan sebagai cerminan masyarakat yang merakam kerumitan pengalaman manusia serta menjadi wahana nilai dan aspirasi bangsa.

Karya sastera, menurutnya, bukan sahaja menghiburkan, malah mengasah kepekaan intelektual dan moral, seterusnya memperkukuh budaya bernilai tinggi yang berteraskan ilmu, estetika dan kemanusiaan.

Dato’ Dr. Anwar turut menyeru generasi muda agar terus mencintai bahasa kebangsaan sebagai tindakan patriotik dan simbol penghormatan kepada warisan bangsa.

Dalam dunia global dan era kecerdasan buatan, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya mencairkan keindahan linguistik dan nilai kesusasteraan

Program wacana ini dihadiri oleh warga UPSI, para pensyarah, pelajar serta peminat sastera dari pelbagai institusi, yang bersama-sama menghayati pandangan bernas Sasterawan Negara mengenai kepentingan memelihara bahasa dan sastera sebagai tunjang budaya bangsa yang unggul dan bernilai tinggi.