Oleh: Nur Syafiqah Mohd Syamsuri
Tanjong Malim, 22 November 2025 – Program ‘Astrelix Zumba Glow Night Party‘ telah dihadiri hampir 600 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diadakan dengan jayanya dianjurkan dari Exco Blok Kediaman 1, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini merupakan sebuah inisiatif mempromosikan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kecergasan fizikal dalam kalangan penghuni kolej serta mengeratkan hubungan antara penghuni dan Ahli Jawatankuasa Blok kediaman melalui aktiviti hiburan yang berfaedah. Program ini menampilkan sesi senaman zumba yang bertenaga dan menyeronokkan di bawah satu bumbung yang penuh dengan suasana malam yang bercahaya.

Program “Astrelix Zumba Glow Night Party” dimulakan dengan ketibaan Ahli Jawatankuasa Pelaksana program, para peserta serta Felo Penasihat Blok Kediaman 1 iaitu Hazman Ya’akob ke lokasi program mencetuskan suasana awal yang tersusun, sekaligus menandakan permulaan rasmi bagi program “Astrelix Zumba Glow Night Party” pada malam tersebut. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi bacaan doa yang berlangsung dalam suasana yang penuh tertib sebagai tanda permulaan kepada program yang akan berlangsung dan memohon agar program “Astrelix Zumba Night Party” dapat dijalankan dengan lancar.

Program ini diteruskan lagi dengan sesi ucapan Hazman Ya’akob, beliau mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Exco Blok Kediaman 1 merangkap Pengarah Program iaitu Sapura Mohd Masdin serta jutaan terima kasih juga kepada barisan Ahli Jawatankuasa blok kediaman 1 yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan kelancaran program “Astrelix Zumba Night Party” pada malam tersebut.


Seterusnya, berlangsung acara yang paling dinantikan pada malam tersebut iaitu sesi senaman zumba. Peringkat pertama mengambil masa selama 30 minit dan diselang-selikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan lima hadiah kepada peserta bertuah. Aktiviti kemudian diteruskan dengan sesi senaman zumba kedua selama 30 minit, turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah kedua yang menyediakan lima lagi hadiah bagi memeriahkan suasana program.
Penganjuran cabutan bertuah ini bertujuan menghargai kehadiran serta sokongan peserta yang memeriahkan “Astrelix Zumba Glow Night Party”.

Program diakhiri dengan sesi fotografi bagi merakam detik-detik indah sepanjang penganjuran serta sebagai dokumentasi penglibatan peserta dan Ahli Jawatankuasa dalam menjayakan acara tersebut.
Program “Astrelix Zumba Glow Night Party” yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat ini diakhiri dengan harapan agar semua peserta bukan sahaja mengekalkan kecergasan fizikal dan gaya hidup sihat, malah dapat menyalurkan semangat kerjasama, keceriaan, dan keterlibatan aktif dalam setiap aktiviti kolej; lebih daripada itu, penganjuran program seumpama ini di masa hadapan diharapkan mampu memperluas penyertaan, mengeratkan hubungan penghuni, dan menjadi platform berterusan untuk memupuk budaya kecergasan, kesihatan, serta kesejahteraan dalam kalangan warga kolej secara holistik dan berpanjangan.
