Oleh: Nurul Shazleeyana Iman Mohamad Sukri

Serendah, 29 November 2025 – Program STEM4Asli Fasa 1: Kebersihan dan Kesihatan Diri telah dilaksanakan dengan penuh berjaya di Kampung Ulu Melaka, Serendah dengan penyertaan seramai 16 pelajar Orang Asli sebagai peserta utama.

Program ini merupakan usaha kerjasama antara Pusat STEM FSM dan MyFundAction (MYFA) dalam membawa akses pendidikan STEM serta kesedaran kesihatan kepada komuniti pedalaman.

Melalui pendekatan pembelajaran amali, peserta diberi pendedahan berkaitan kepentingan kebersihan diri, pengurusan persekitaran serta asas penjagaan kesihatan harian yang relevan dengan kehidupan mereka.

Penyelaras program, ChM. Dr. Aisyah Mohamad Sharif, menjelaskan bahawa pendidikan berkaitan kebersihan dan penjagaan diri perlu dimulakan sejak peringkat sekolah rendah agar tabiat positif dapat dibina lebih awal.

Beliau turut menyatakan bahawa amalan seperti mencuci tangan, menggunakan sabun dan menguruskan sisa dengan betul bukan sahaja mencegah penyakit, malah menjadi asas kepada gaya hidup sihat yang berpanjangan.

Menurut beliau, pendedahan sebegini mampu membantu komuniti pedalaman meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan diri dan alam sekitar, seterusnya memberi kesan jangka panjang terhadap tahap kesihatan mereka.

Program dimulakan dengan sesi suai kenal bagi membina keselesaan dan hubungan mesra antara peserta dan fasilitator.

Peserta kemudiannya dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil bagi melancarkan perjalanan aktiviti yang melibatkan pembelajaran dari satu stesen ke stesen yang lain.

Dalam aktiviti pertama, murid diajar menghasilkan sabun menggunakan kit sabun yang lengkap dengan bahan asas serta peralatan.

Mereka bukan sahaja didedahkan kepada proses pembuatan sabun, malah diberikan penjelasan mengenai fungsinya dalam membunuh kuman dan kepentingan penggunaannya dalam rutin kebersihan harian.

Seterusnya, peserta menjalani aktiviti pengasingan sampah mengikut kategori utama iaitu kaca, kertas dan plastik. Mereka dilatih mengenal pasti jenis bahan buangan melalui pemerhatian, sentuhan dan perbandingan visual.

Aktiviti ini jelas memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan pengurusan sisa dan kitar semula dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih dan bebas pencemaran.

Penerapan nilai tanggungjawab turut diselitkan agar murid lebih peka terhadap peranan mereka dalam menjaga kebersihan kampung serta alam sekitar demi masa depan yang lebih lestari.

Aktiviti terakhir adalah demonstrasi cara mencuci tangan dengan betul, yang mendapat respons paling aktif daripada peserta. Mereka diajar langkah mencuci tangan secara menyeluruh termasuk menggosok bahagian tapak tangan, celahan jari, atas tangan, kuku, hujung jari serta pergelangan tangan.

Walaupun mudah dan ringkas, teknik ini amat penting bagi mengelakkan penyebaran bakteria dan virus, khususnya dalam komuniti yang sering berdepan risiko penyakit berjangkit.

Murid dilihat sangat teruja kerana dapat mempraktikkan kaedah mencuci tangan secara langsung sambil memahami tujuan setiap langkah dilakukan.

Sebagai penutup aktiviti, turut diadakan Pertandingan Mewarna bertemakan kebersihan diri sebagai medium kreatif untuk mengukuhkan pemahaman peserta.

Melalui warna dan ilustrasi, murid berpeluang menzahirkan kefahaman mereka mengenai kebersihan dalam bentuk visual.

Hasil karya mereka yang penuh warna-warni jelas menunjukkan semangat, kegembiraan dan penerimaan positif terhadap pembelajaran sepanjang program berlangsung.

Secara keseluruhan, STEM4Asli Fasa 1 telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkenalkan ilmu kebersihan dan kesihatan diri melalui kaedah yang menyeronokkan, praktikal dan mudah difahami.

Program ini bukan sahaja memberi pengetahuan baharu kepada murid Orang Asli, malah meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan menjaga diri dan persekitaran untuk kesejahteraan hidup jangka panjang.

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skop lebih luas agar lebih banyak komuniti pedalaman dapat mengakses ilmu STEM dan pendidikan kesihatan secara inklusif, menyeluruh dan berkesinambungan.